Felda Boleh Jadi Penyelamat Makanan Negara- Zahid

KUALA LUMPUR – Felda berpotensi untuk menjadi “The Future Food Valley Of Malaysia” yang dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan dari luar dan peranan ini akan menjadikan Felda sebagai pemangkin ekonomi terpenting negara.

Idea ini dikemukakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kata beliau, syaratnya Felda memerlukan suntikan lebih daripada sekadar modal dan material bagi menyumbang kepada bekalan dan sekuriti makanan.

“Felda memerlukan rejuvenasi yang besar-besaran. Hala tuju Felda perlu menjadi lebih daripada sekadar untuk menjana pulangan dan keuntungan ekonomi bagi warganya semata-mata tetapi juga terlibat secara langsung dalam membangun negara dengan lebih holistik.

“Ini termasuk mengubah model ekonomi dan struktur Felda secara radikal. Model ekonomi Felda perlu dikembangkan kepada sektor bio-ekonomi dan agrikultur moden. Ini termasuk meneroka “biomass harvesting” dan industri pemprosesan hiliran,” syor Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam hantaran Facebooknya pada Khamis.

Menurut Zahid, kapasiti dan pembangunan “multi-crop” juga boleh diperluaskan dengan penglibatan pihak universiti, fasiliti penyelidikan agrikultur, kerajaan dan juga pemain teknologi dan industri.

Tambah beliau, sudah tiba masanya juga tanah Felda yang tersedia luas ini turut diusahakan multifarming yang termasuk penternakan lembu dan sumber daging yang lebih inovatif menggunakan teknologi terkini.

Selain itu, kata Zahid, bagi memastikan ketersediaan pasaran bagi produk hiliran Felda ini, satu usaha “whole-of-society” boleh diambil bagi memastikan pembekalan, pengagihan dan proses pemasaran hasil ladang dapat dilaksanakan secara digital tanpa pergantungan kepada orang tengah.

“Proses transformasi ini tentunya dapat membolehkan Felda memainkan peranan yang lebih teras dalam pembangunan negara terutamanya dalam sektor perladangan.

“Kerjasama antara kementerian, kerajaan-kerajaan negeri, agensi-agensi serta pihak-pihak berkepentingan akan membuka lebih banyak peluang untuk lebih berdaya saing dan boleh sekali lagi dijadikan contoh program rekayasa sosial dan ekonomi terbaik di peringkat antarabangsa,” tegas Zahid.

Kata beliau, dalam keadaan sekarang apabila negara mengalami krisis sekuriti makanan, Felda berada pada kedudukan terbaik untuk menjadi sumber utama perolehan makanan dalam negara dan juga untuk memastikan hasil eksport tidak tergendala.

“Hakikatnya Malaysia merupakan pengimport bersih sumber makanan. Malah 60 peratus sumber makanan di negara ini diimport dari luar.

“Pada tahun 2020, sebanyak RM 55.4 bilion dibelanjakan untuk mengimport makanan. Dengan keadaan mata wang yang semakin lemah, keadaan ini akan menyebabkan ekonomi kita semakin menguncup.

“Walaupun kita melihat seolah-olah terdapat banyak ladang-ladang dan ternakan di Negara ini, hakikatnya 88.8 peratus daripada daging kambing dan 76.4 peratus daripada daging lembu adalah diimport dari luar,” ujarnya.

Sejak awal Oktober tahun lepas, harga minyak sawit mentah mencecah RM 5,000/tan dan sejak itu meningkat dari hari ke hari sehingga pernah setinggi RM8,000/tan, katanya.

“Sepanjang bulan lepas harganya agak stabil dalam lingkungan RM 6,000 ke RM 7,000++ per tan dan corak ini dilihat akan berterusan. Ramai peladang-peladang sawit boleh menarik nafas gembira dengan keadaan ini, terutamanya warga Felda.

“Dalam masa negara dibebani pelbagai dampak isu kesempitan hidup dan harga barangan yang semakin tidak terkawal, Alhamdulillah warga Felda dapat bertahan mengharungi cabaran-cabaran ekonomi ini.

“Kepentingan dan impak Felda dalam fabrik sosioekonomi Malaysia adalah suatu perkara yang tidak dapat dinafikan,” hujah beliau lagi.

Zahid menambah, dengan objektif meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar, Felda telah berjaya mengangkat kira-kira 122,000 keluarga daripada kemiskinan dan membantu satu generasi masyarakat luar bandar yang tidak mempunyai tanah menjadi rakyat golongan kelas pertengahan dengan pegangan purata empat hektar tanaman kelapa sawit. Sehingga kini, keluarga Felda telah bertambah dari generasi ke generasi sehingga melebihi 1 juta orang.

“Malah, Felda juga diiktiraf secara global sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang tidak dapat disaingi oleh badan pembangunan tanah di negara lain.

“Malah negara luar seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul pembangunan Felda, namun tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya,” ulas beliau.

Bukan cuma itu, kata Zahid lagi, di Korea Selatan, semangat Saemaul Undong sering dibandingkan dengan Felda daripada segi kejayaan pembangunan luar bandar dan rekayasa masyarakat yang paling berjaya di Asia Tenggara sehingga seringkali menjadi rujukan kes pembangunan sosio-ekonomi.

“Namun di sebalik semua pencapaian yang membanggakan ini, kita semua tentu tidak dapat melupakan episod pemboikotan minyak sawit daripada negara-negara Eropah menyebabkan harga minyak sawit jatuh teruk dan memberi kesan terus kepada warga Felda.