Peminat sumbang RM1 tonton persembahan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ameng Spring tidak menyangka persembahan secara maya menerusi Facebook (FB) Artiste Voice Of Legend (AVOL) mendapat sambutan menggalakkan.

Vokalis kumpulan Spring itu berkata, sambutan itu secara tak langsung memberikannya semangat menghiburkan peminat, selain dapat menjana pendapatan pada situasi mencabar ini.

“Kelmarin, hari pertama saya membuat persembahan secara maya. Saya tidak sangka menerima sambutan sangat menggalakkan. Bukan hanya saya, kebanyakan penyanyi yang turut mengadakan persembahan menerima kutipan melebihi RM2,000.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat terbabit dengan persembahan secara maya ini. Saya berterima kasih kepada Fredo Flybaits kerana menjemput saya.

“Bagi saya, penganjuran persembahan ini adalah satu idea yang baik, di mana penyanyi seperti kami boleh menggunakan pelbagai platform untuk menjana pendapatan.

“Sebenarnya, saya sudah hampir dua tahun tiada program. Dan selama itulah tiada duit masuk ke dalam akaun bank, jadi apabila buat persembahan, barulah ada duit masuk,” katanya kepada BH Online.

Persembahan nyanyian secara langsung menerusi Facebook AVOL yang menetapkan sumbangan hanya RM1 daripada peminat dimulakan oleh penyanyi, Fredo, Jatt Ali, Hasnol, Ramziela dan Ibnor Riza atas tujuan menjana pendapatan ketika pandemik COVID-19.

Program itu bersiaran secara langsung setiap hari, bermula jam 5 petang, bermula sejak 2 Jun lalu.

Ameng berkata, jika menjayakan persembahan secara berseorangan di laman FB mungkin kurang meriah, namun penyertaan lebih ramai penyanyi pula sebaliknya dan boleh diperkasakan lagi.

“Dan peminat juga akan lebih percaya bahawa ini adalah satu persembahan serius, tidak ubah seperti konsert. Jadi, setiap artis diberikan slot selama 15 minit. Saya menyanyi dari rumah dengan menggunakan ‘minus one’ dan sistem bunyi yang sedap, bukanlah seperti karaoke.

“Selain menyanyi, kami juga ada membuat FB Live yang menyiarkan latihan pada jam 2 petang dan kapsul di mana peminat boleh berinteraksi dengan kami. Kiranya program ini lebih kepada pengisian ketika sekatan pergerakan penuh kerana sasaran kami mahu menghiburkan penonton sepanjang tempoh ini,” katanya.

 

Ameng Spring tidak menyangka persembahan secara maya bersama rakan penyanyi lain mendapat sambutan yang menggalakkan. - Foto FB Artiste Voice Of Legend
Ameng Spring tidak menyangka persembahan secara maya bersama rakan penyanyi lain mendapat sambutan yang menggalakkan. – Foto FB Artiste Voice Of Legend

 

Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, RM1 untuk menonton hanya syarat dan sekiranya peminat menyumbang lebih daripada itu, amat dialu-alukan.

“Kami tidak memaksa, bukannya anda mahu tengok persembahan saya, anda kena bayar. Bukan begitu, pemberian ini terpulang kepada penonton, jika ikhlas mahu sumbang, kami amat bersyukur.

“Dalam pada masa sama, kami dapat mengisi masa terluang di rumah. Sebagai insan seni, kami sentiasa mahu berkarya, jadi dengan cara ini dapat juga melepaskan gian menyanyi.

“Macam kelmarin ada peminat mahu saya menyanyi lagu Bourgenvilla dan menghulurkan RM30. Apabila saya nyanyi lagu ini, peminat tambah lagi. Ia adalah satu sikap sangat positif kerana ia membuatkan saya rasa dihargai,” katanya.

Namun begitu, Ameng berkata, ada juga komen negatif yang diterima, tetapi memilih untuk berfikir positif. Ini kerana dirinya juga seperti manusia lain cuba cari jalan alternatif untuk menjana pendapatan.

“Apabila saya memuat naik iklan persembahan, ada yang berpendapat artis tidak layak dibantu. Artis tidak memberi manfaat untuk negara dan nampak seperti peminta sedekah.

“Kami bukan meminta sedekah, tetapi kalau orang bayar, ia bermaksud mereka menghargai bakat kita. Stesen radio dan televisyen (TV) memainkan lagu nyanyian pun mereka bayar, bukannya percuma.

“Dan selalunya kami dapat royalti daripada stesen radio, TV, YouTube, penjualan album dan sebagainya. Sekarang ini platform ini juga boleh digunakan untuk golongan penyanyi menjana pendapatan,” katanya.

Ameng berkata, ia juga terpulang pada penonton untuk membayarnya. Jika tidak mahu tengok, mungkin boleh pergilah tonton tayangan lain.

“Tetapi, kalau anda memberi sumbangan, ia boleh membuatkan kami berkarya lagi. Bagi orang yang tidak sukakan kami, tidak rasa lagu ini sangat penting? Cuba bayangkan jika radio tiada lagu, tidakkah bosan dengar penyampai radio bercakap sahaja?,” katanya.

Lagipun, bagi Ameng, dia mencari rezeki dengan cara yang betul, apatah lagi, dalam keadaan terdesak ini.

“Saya juga perlu memberi makan kepada keluarganya. Jadi, apa salahnya saya bertukar corak persembahan ke platform digital untuk mencari sesuap rezeki,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat