PM adakan lawatan ke Republik Kyrgyz, perkukuh hubungan dua hala

- Advertisement -

BISHKEK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz bermula esok bagi mengeratkan silaturahim Malaysia dan republik itu selain meneroka peluang bidang kerjasama serta memperkukuh hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Duta Besar Malaysia ke Republik Kyrgyz dan Uzbekistan Ilham Tuah Illias berkata ia adalah lawatan sulung Anwar ke negara berkenaan sejak menyandang jawatan itu dan yang kedua bagi Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh 28 tahun selepas kali terakhir pada 1996.

“Kita mempunyai hubungan diplomatik yang amat rapat dengan Republik Kyrgyz sejak tahun 1990-an dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal.

“Selain itu, kedua-dua negara mempunyai pendirian yang sama dalam pelbagai isu seperti geopolitik dan ekonomi di pentas antarabangsa,” katanya kepada media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri di sini hari ini.

Ilham Tuah berkata Republik Kyrgyz adalah negara pertama dikunjungi Anwar dalam kerangka lawatan Perdana Menteri ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan serta Uzbekistan dan kunjungan beliau amat bermakna memandangkan Asia Tengah kini adalah the new frontier.

Beliau berkata Republik Kyrgyz, yang merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991, melihat Malaysia sebagai model negara Islam maju dan boleh berkongsi kemahiran bagi membangunkan sumber manusia ke arah lebih produktif untuk memajukan republik itu.

“Sembilan puluh peratus penduduk di negara ini adalah beragama Islam dan kita lihat banyak yang boleh kita kongsi dan teroka seperti berkaitan ekosistem halal… mereka juga ada menyatakan minat terhadap perbankan Islam dan berharap ia diperkenalkan di sini,” katanya.

Justeru itu, Ilham Tuah berkata Republik Kyrgyz sedia bertukar-tukar pandangan dengan agensi berkaitan halal termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang terkenal dengan pengiktirafan halal di peringkat antarabangsa selain kerjasama membangunkan makmal pembuatan produk halal dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Pada 2023, Republik Kyrgyz adalah rakan perdagangan global ke-133 Malaysia dengan nilai dagangan RM162.31 juta (US$36.35 juta) dan lebihan dagangan sebanyak RM159.88 juta (US$35.82 juta) yang berpihak kepada Malaysia.

Ilham Tuah juga berkata antara bidang kerjasama lain yang boleh diperkukuh ialah pendidikan serta pelancongan kerana terdapat penerbangan terus dari Malaysia ke Republik Kyrgyz dan Tashkent di Uzbekistan.

“Seramai 132 pelajar di sini ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran sama ada di institusi pendidikan tinggi awam atau swasta pada 2023 selain lebih 2,000 orang direkodkan melancong ke Malaysia kerana tarikan seperti pantai dan pulau memandangkan ini adalah negara yang dikelilingi daratan,” katanya.

Beliau berkata Republik Kyrgyz juga berhasrat mengetengahkan produk pelancongan mereka kepada rakyat Malaysia menerusi lawatan Perdana Menteri ke Taman Negara Ala Archa, yang terletak lebih 30 kilometer dari Bishkek.

Perdana Menteri dijadualkan tiba di Bishkek malam ini sebelum memulakan lawatan rasmi dua hari dengan upacara meletakkan kalungan bunga di Kompleks Peringatan Ata-Beyit pada pagi Rabu.

Ata-Beyit, yang bermaksud Grave of Our Fathers telah dibina pada tahun 2000 sebagai simbol untuk mengingati dan memberi penghormatan kepada mereka yang kehilangan nyawa semasa berlakunya pelbagai peristiwa ngeri serta dikebumikan di dalam kubur besar di kawasan berhampiran.

Selepas itu, Anwar dijadualkan berlepas ke Kediaman Negara Ala Archa untuk upacara memeriksa kawalan kehormatan yang disusuli pertemuan empat mata dengan Presiden Republic Kyrgyz Sadyr Japarov sebelum mengetuai delegasi Malaysia untuk mengadakan mesyuarat dengan presiden itu.

Anwar dan Sadyr Japarov juga dijangka menandatangani kenyataan bersama dan mengadakan sidang media sebelum Perdana Menteri bertemu rakan sejawatnya, Pengerusi Menteri Kabinet Republik Kyrgyz iaitu Akylbek Zhaparov.

Perdana Menteri juga dijadualkan menghadiri resepsi yang dihoskan oleh Sadyr Japarov.

Pada hari kedua lawatan, beliau akan mengadakan tinjauan mesra dan menghadiri acara kebudayaan di Taman Negara Ala Archa sebelum berlepas ke destinasi berikutnya iaitu Kazakhstan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat