Adele raih tiga trofi Anugerah Brit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyanyi Adele, 33, merangkul tiga trofi termasuk Album Terbaik menerusi album 30 pada Anugerah Brit 2022 yang berlangsung di Arena O2, London, semalam.

Selain Album Terbaik, Adele turut membawa pulang trofi Lagu Terbaik menerusi single popular, Easy One Me dan Artis Terbaik yang kini tidak lagi spesifik kepada penyanyi lelaki atau wanita.

Adele menzahirkan perasaan terkejut apabila lagu bergenre balada yang diiringi petikan piano itu mampu menewaskan lagu penyanyi terkenal seperti A1 & J1, Central Cee, Glass Animals, Ed Sheeran dan KSI.

Mengikut laporan Portal Sky News, Adele dengan penuh emosi mendedikasikan kemenangan kepada anak lelaki, Angelo Adkins dan bekas suaminya, Simon Konecki.

Menyifatkan album 30 adalah rekod perceraian dan membawa simbol usia perkahwinan bersama Konecki.

“Album ini adalah catatan semua perjalanan kami, bukan hanya untuk saya.

“Saya sangat berbangga dengan diri sendiri. Ini kerana saya berpegang kepada senjata dan mengeluarkan album yang disifatkan sangat peribadi.

“Saya tahu ramai penyanyi tidak akan melakukan perkara seperti ini. Saya berterima kasih kepada Angelo yang berusia sembilan tahun kerana pemurah, baik dan bersabar dengan saya sejak beberapa tahun ini.

“Jadi, kemenangan ini khas untuknya,” katanya.

 

Penyanyi remaja dari Amerika Syarikat, Olivia Rodrigo memenangi Lagu Antarabangsa Terbaik menerusi Good 4 U. - Foto AGENSI
Penyanyi remaja dari Amerika Syarikat, Olivia Rodrigo memenangi Lagu Antarabangsa Terbaik menerusi Good 4 U. – Foto AGENSI

 

Adele berkata, dia memahami mengapa kategori Artis Terbaik tidak lagi spesifik kepada jantina sama ada penyanyi lelaki atau wanita.

“Saya faham mengapa penganjur menukarnya. Saya sangat suka menjadi menjadi artis wanita dan mahu meraikannya,” katanya sejurus menerima trofi Artis Terbaik.

Adele atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins sempat memberikan beberapa nasihat kepada rakan penyanyi yang lebih muda.

“Jangan sekali-kali terlepas pandang tentang siapa anda,” katanya yang hadir sendirian ketika acara permaidani merah dengan menggayakan gaun hitam yang menakjubkan.

Terdahulu, single Easy On Me menduduki tangga 68 dalam carta Billboard Hot 100 hanya selepas lima jam dilancarkan pada penghujung tahun lalu. Album 30 juga menjadi album paling laris di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), tahun lalu.

Ini juga kemenangan ketiga Adele bagi kategori Album Terbaik dan Lagu Terbaik.

Pemenang Anugerah Grammy sebanyak 15 kali itu pernah membawa pulang trofi berkeena menerusi album 21 pada 2012 dan 25 (2016). Adele juga adalah artis solo pertama dalam sejarah muzik British yang tiga kali memenangi anugerah itu.

2022 adalah tahun pertama Anugerah Brit menggabungkan kategori lelaki dan perempuan menerusi Artis Terbaik dan Artis Antarabangsa.

Nyata, kedua-dua kategori diraih penyanyi wanita apabila Billie Eilish dinobatkan sebagai Artis Antarabangsa.

 

Penyanyi dan komposer Britain, Ed Sheeran memberi penghormatan kepada isterinya apabila menerima trofi Penulis Lagu Terbaik. - Foto AGENSI
Penyanyi dan komposer Britain, Ed Sheeran memberi penghormatan kepada isterinya apabila menerima trofi Penulis Lagu Terbaik. – Foto AGENSI

 

Antara penerima trofi lain termasuklah Ed Sheeran yang memberi penghormatan kepada isterinya apabila menerima trofi Penulis Lagu Terbaik.

Malam penghargaan buat karyawan British itu turut memperkenalkan semula kategori yang kali pertama sejak 2006 diwujudkan iaitu Alternatif/Rock, Pop/R&B, Tarian dan Hip-Hip/Rap/Grime yang undian dilakukan peminat, bukannya juri profesional dalam kalangan penggiat industri muzik.

Pemenang Album Terbaik British, tahun lalu, Dua Lipa memenangi undian TikTok bagi kategori Pop/R&B dan Sam Fender pula merangkul trofi Rock Alternatif.

Penyanyi remaja dari AS, Olivia Rodrigo pula memenangi Lagu Antarabangsa Terbaik menerusi Good 4 U, manakala Becky Hill memenangi kategori Tarian yang juga kategori muzik yang kembali selepas 16 tahun dihapuskan dari Anugerah Brit.

Penyanyi rap, Little Simz yang dicalonkan menerusi empat kategori berjaya membawa pulang trofi Artis Baharu Terbaik menerusi album Sometimes I Might Be Introvert.

“Saya ingin katakan kepada sesiapa sahaja yang menonton dari rumah. Saya adalah bukti apabila bekerja keras tidak kira dari mana kita berasal, tidak kira latar belakang dan bangsa, anda boleh melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Jadi, untuk semua kanak-kanak, teruskan bermimpi dan usaha. Saya adalah kamu.

“Kami adalah saya. Terima kasih banyak-banyak,” kata Little Simz yang dibesarkan di sebuah ladang di utara London.

Anugerah Brit dihoskan oleh pelawak, Mo Gilligan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Adele, Liam Gallagher dan Anne Marie. – AGENSI

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat