KUALA LUMPUR- Peguam Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempersoalkan kenapa titah adendum terhadap bekas Perdana Menteri itu disembunyikan.
Shafee mendakwa, kewujudan titah adendum terhadap Najib dengan sengaja telah disembunyikan oleh pihak tertentu.
Sehubungan itu, Shafee berkata, pihaknya telah meminta semua ahli Parlimen untuk mendesak perkara tersebut.
“Oleh sebab itu juga, saya telah mengambil tindakan kes ‘judicial review’ dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
“Apabila tindakan ini dilakukan, ia boleh memaksa pelaksanaan adendum tersebut dan mahkamah boleh melakukannya.
“Tetapi malangnya, mahkamah tidak nampak yang sebenarnya ia ada,” katanya ketika sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin.
Pun begitu Shafee berkata, ia terpulang kepada mahkamah untuk mengambil tindakan berhubung adendum tersebut.
Tegas beliau, titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini sememangnya ada (wujud).
“Saya memberi jaminan bahawa ia (titah adendum) ada. Malah saya sahkan sebanyak 120 peratus ia ada,” tegas beliau.
Dalam pada itu Shafee berkata, pihaknya sendiri tidak tahu bagaimana titah adendum yang dikeluarkan oleh Yang di- Pertuan Agong sebelum ini tidak dituruti dan dilaksanakan.
Jelas beliau, pihaknya perlu bersopan dalam membuat permohonan untuk diutarakan atau dikemukakan dokumen adendum dalam mahkamah rayuan.
“Semasa (mahkamah) mendengarnya secara terbuka, ia harus dirahsiakan,” ujarnya.
Ditanya terdapat pihak pengendali ‘podcast’ yang telah memainkan kewujudan titah adendum tersebut, Shafee berkata, ia bukan lagi di bawah kawalannya.
“Saya boleh kawal apa yang saya buat. Jadi saya tidak boleh berbuat apa-apa.
“Akan ada satu kejutan dalam kes ini. Namun saya tidak boleh memaklumkannya sekarang.
“Kalau diumumkan sekarang, ia bukan lagi satu kejutan,” kata Shafee lagi.
Media sebelum ini melaporkan, anak sulung Najib, Datuk Mohamad Nizar didakwa menerima dokumen daripada Istana Pahang sebagai bukti tambahan baharu dalam rayuan berhubung kewujudan titah adendum.
Dokumen tersebut diterima Nizar pada 2 Disember atas arahan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.