KOTA KINABALU – Cadangan kerjasama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) dalam Pilihan Umum Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 tahun hadapan mungkin berakhir lebih awal berikutan jawapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat minggu lalu.
Dalam sidang Dewan Rakyat 6 November lalu, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi BN dan Presiden UMNO memberitahu Ahli Parlimen Kinabantangan, Datuk Seri Panglima Bung Moktar, bahawa salah satu cara untuk mengatasi migrasi penduduk Sabah ke Semenanjung ialah dengan menukar kerajaan negeri Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan Ahli Parlimen Kinabatang itu dalam sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Bung Moktar sebelum itu mohon mencelah penggulungan dengan menyatakan, “Ini soal migrasi masyarakat luar bandar ke bandar ini. Mungkin Yang Amat Berhormat boleh berbincang dengan kementerian yang lain untuk membuat Blue Ocean Strategy, di mana mungkin di luar bandar ini perlu diberi peluang pekerjaan dan juga mungkin peluang-peluang perniagaan sama ada SME kah dan sebagainya.
“Kalau tidak, migrasi ini tidak akan dapat dibendung dan ini berlaku. Contohnya, daripada Sabah. Lebih kurang 350,000 belia-belia Sabah berada di Lembah Klang ini, di Johor dan Pulau Pinang sebab memburu pekerjaan. Jadi, ini bagaimana mekanisme yang akan direncanakan oleh kerajaan untuk membendung migrasi ini berlaku?”
Ahmad Zahid kemudiannya menjawab Mekanisme yang pertama bagi mitigate, untuk melakukan pembendungan penghijrahan ini yang pertama, untuk Sabah khususnya, tukar kerajaan.
Bagaimanapun sebelum Ahmad Zahid meneruskan kepada perkara kedua, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bangun menegur Ahmad Zahid.
“Yang Amat Berhormat, Yang Amat Berhormat. Boleh saya tanya? ini kena serius sedikit Yang Amat Berhormat. Kinabatangan tanya soal yang saya ingat memang relevan. Kita tidak mahu terlampau banyak sangat migration di kawasan-kawasan luar bandar ke bandar-bandar yang besar ini. Kalau dari strategi kerajaan untuk transfer industri-industri yang terlampau pesat, contohnya di Selangor ini kita pindahkan ke Kinabatangan, sebagai contoh. Saya ingat memang itu adalah sesuatu strategi yang baik. Tak payahlah tukar kerajaan,” ucap Ahli Parlimen Larut tersebut.
Jawapan sepintas lalu Ahmad Zahid mengenai keperluan menukar kerajaan Sabah ini, ia telah memberi menimbulkan persoalan terutama kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketika beliau diberi jaminan PH akan bekerjasama dengan PGRS, BN pula telah membawa arah yang lain. Dalam masa yang sama PH turut mengumumkan kerjasama dengan BN untuk PRN Sabah nanti.
Keadaan ini memberi gambaran BN hanya tidak akan menentang PH tetapi akan bertembung dengan PGRS. Manakala PGRS pula akan menentang BN tetapi tidak dengan PH.
Bagaimanapun pemerhati politik di Sabah mahu kekal ketanpanamaan menganggap kenyataan Ahmad Zahid hanyalah taktik politik sebelum perundingan kerusi bertanding.
“Saya fikir ini hanya untuk memberi isyarat kepada Hajiji bahawa UMNO bersedia bertanding menentang PGRS sekiranya kerusi-kerusi yang mereka menangi lalu tetapi diwakili oleh Adun yang belot tidak dikembalikan.
“Kunci sebenar kerjasama UMNO dengan mana-mana parti lain dalam PRN Sabah akan banyak bergantung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya tidak fikir Zahid akan melanggar pandangan Anwar.”
Bagaimanapun isyarat Ahmad Zahid tidak boleh dipandang mudah berikutan sebahagian besar Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Sabah tidak begitu cenderung untuk mengadakan kerjasama dengan PGRS dan Hajiji.
Hanya Ketua UMNO Bahagian Tuaran dan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Rahman Dahlan dilihat cenderung kepada kerjasama tersebut.
Kita akan mengetahui ada kerjasama dengan PGRS atau tidak sekiranya berlaku perubahan pucut pimpinan UMNO Sabah dalam masa yang terdekat ini. Sekiranya Ahmad Zahid memutuskan untuk bekerjasama dengan PGRS, maka kemungkinan perubahan kepimpinan UMNO Sabah akan berlaku.-SuaraTV