Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff, dilantik sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif berkuatkuasa Sabtu.
Ahmad Shahril akan menggantikan Ketua Pegawai Eksekutif bank tersebut, Dato’ Dr. Mohammad Hanis Osman yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya.
Bank Rakyat dalam kenyataannya mengumumkan pelantikan ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi Bank Rakyat berjalan lancar.
Ahmad Shahril mempunyai pengalaman luas selama lebih 26 tahun dalam industri perbankan merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance.
“Bank Rakyat merakamkan penghargaan kepada Dr. Mohammad Hanis atas komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh beliau dalam memastikan kesinambungan pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dilaksanakan dengan baik untuk mencapai matlamat dan aspirasi yang dirangka.
“Dr. Mohammad Hanis telah berkhidmat selama 15 tahun di Bank Rakyat, dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif sejak 1 April 2022, sebelum memegang teraju sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 Julai 2022.
“Pelbagai pencapaian dan pengiktirafan turut berjaya diraih sepanjang tempoh beliau menerajui kepimpinan Bank Rakyat,”kata kenyataan itu pada Sabtu.
“Semasa kepimpinannya, Bank Rakyat telah diiktiraf sebagai jenama paling pesat berkembang di Malaysia mendahului jenama perbankan lain, menurut laporan perunding penilaian jenama terkemuka, Brand Finance Malaysia 2023.
“Bank Rakyat berterima kasih atas dedikasi dan sumbangan besar sepanjang beliau memimpin institusi kewangan ini ,”kata kenyataan itu lagi.”-SUARA.TV