UMNO Nafi Akan Bergabung Dengan PH Selepas PRU15

- Advertisement -

KUALA NERANG, 9 Nov — UMNO menafikan tuduhan ada perancangan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin itu
hanya satu andaian dengan tujuan untuk memberi gambaran yang salah kepada pengundi dalam kempen PRU15.

“Tan Sri Muhyiddin memberi ucapan atau kenyataan itu (sebenarnya) boleh memberi kesan Barisan Nasional (BN), orang Melayu rata-ratanya takut dengan perkataan DAP. Jadi lebih baik tak payah bagi undi kepada BN sebab BN nak bekerjasama dengan PH dan itu memberi gambaran yang salah kepada masyarakat.

“Sebab tak pernah ada pun di mana-mana kenyataan (pimpinan) BN malah dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini pun sebut no DAP no Anwar jadi maknanya kita sudah memberi satu petunjuk yang jelas, soal-soal nak bergabung tak timbul.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sembang Santai Bersama Ahli Koperasi Peserta FELCRA Berhad di Pusat Komuniti, Padang Kerasak di sini, hari ini.

Tegas Mahdzir, BN secara jelas masuk ke gelanggang PRU dengan matlamat untuk mendapat majoriti dan mewujudkan kerajaan.

BN juga katanya tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu bersama PH.

“Kita lawan dululah, kita ada banyak gabungan parti yang masuk sekarang, PN, PH, Gerakan Tanah Air (GTA), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya ingat kita pergilah berkempen secara berhemah bawakan kita punya naratif dan optik yang betul kepada rakyat.

BN sediakan manifesto yang praktikal, yang kedua, kita menyediakan seseorang yang menjadi Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, jadi kita serahkan kepada rakyat kita yang pelbagai kaum.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata, ada kemungkinan akan wujud kerjasama antara Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU15 bagi membentuk kerajaan.

Muhyiddin juga berkata, kerjasama itu boleh membawa musibah kepada orang Melayu kerana Anwar akan membawa DAP masuk bersama untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap BN ketika ini, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata pihaknya yakin akan mencapai sasaran menang di banyak kawasan susulan peningkatan sokongan terhadap BN.

Ends

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat