KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, belanjawan tidak hanya menghitung lembaran hasil dan membahagi peruntukan sebaliknya, Ia menguji amanah kita—apakah kuasa dibatasi, undang-undang ditegakkan dan wang rakyat diurus dengan jujur?
Tegas beliau, ekonomi tidak mungkin teguh di atas institusi yang rapuh.
“Rasuah yang sistemik dan berakar umbi dibanteras habis-habisan.
“RCI Tabung Haji, kemelut FELDA dan sebelumnya skandal 1MDB seharusnya menyentak sanubari kita: apabila kuasa disalah guna, yang hilang tidak hanya wang ringgit, tetapi hak rakyat dan maruah negara.
“Kerajaan Madani mengembalikan wibawa Parlimen. Telah lama kita perjuangkan sebuah institusi Parlimen yang bebas. Setelah lebih tiga dekad, akhirnya autonomi Parlimen dikembalikan. Jawatankuasa Pilihan Khas ditubuhkan dan pengenalan PMQT untuk Perdana Menteri disoal secara langsung,” katanya.
Jelas Anwar, kerajaan melindungi rakyat melalui undang-undang. Akta Antibuli dan Akta Keselamatan Dalam Talian digubal, Peranan SUHAKAM dan Pesuruhjaya Kanak-kanak diperkukuh, begitu juga perlindungan kepada pemberi maklumat dan saksi.
“Kerajaan Madani menegakkan hak asasi. Hukuman mati mandatoridan kesalahan cubaan membunuh diri dimansuhkan, sementara perbuatan menghendap dijadikan kesalahan.
“Ternyata, pembaharuan paling sukar ialah reformasi membatasi kuasa sendiri. Tahun ini, usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri telah dibawa ke Parlimen, namun belum memperoleh sokongan
dua pertiga.
“Cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya pula telah diteliti secara mendalam. Kita menghormati proses Parlimen, tetapi tekad melakukan pembaharuan ini tidak akan pernah padam,” katanya.
Menurut Anwar, memasuki tahun kelima pentadbiran, agenda reformasi Madani terus diperteguh tanpa gentar.
Perdana Menteri berkata, RUU Entiti Milik Kerajaan akan digubal bagi memperketat tatakelola entiti yang diamanah mengurus wang dan aset rakyat.
“RUU ini meliputi syarikat Kerajaan dan Badan Berkanun bagi mengekang keterlanjuran seumpama skandal 1MDB, kemelut Tabung Haji dan FELDA daripada berulang.
“Bagi memperkukuh tatakelola dan ketelusan pengurusan kewangan awam, semua kutipan bayaran balik pinjaman, termasuk pinjaman pendidikan dan pinjaman perniagaan yang dibiayai melalui peruntukan mengurus dan peruntukan pembangunan yang disalurkan secara langsung kepada badan berkanun Persekutuan hendaklah digunakan semula hanya bagi tujuan kumpulan sasaran yang diluluskan.
“Ketetapan ini turut meliputi hasil faedah yang dijana daripada dana tersebut.
“Dasar Kerajaan sedia ada telah pun menetapkan kutipan bayaran balik pinjaman oleh Badan Berkanun Persekutuan yang menggunakan dana Kerajaan
Persekutuan tidak boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus badan berkanun, program atau aktiviti lain, mahupun apa-apa perbelanjaan di luar kelulusan peruntukan asal,” katanya.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan berganding bahu dengan GLC dan sektor korporat dalam memantapkan penyampaian kepada rakyat.
“Umpamanya TNB dan syarikat telekomunikasi akan dilibatkan dalam pelaksanaan bekalan elektrik desa dan ketersambungan internet bagi mempercepat pelaksanaan projek melalui penyatuan dana kerajaan dan CSR syarikat,” katanya.



