KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa agar siasatan baharu berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dijalankan oleh pegawai penyiasat yang berbeza daripada individu yang mengendalikan siasatan awal.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, langkah itu penting untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan tanpa sebarang keraguan atau syak wasangka.
“Alhamdulillah, moga keadilan untuk adik Zara. Pemergiannya dirasai oleh kita semua. Kita desak juga agar kes ini disiasat oleh pegawai penyiasat yang berlainan dari yang menjalankan siasatan awal agar kes ini dapat diadili tanpa ada sebarang syak wasangka.
“Kita semua Zara Qairina!” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan agar jenazah Zara digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sebagai sebahagian daripada siasatan menyeluruh. Menurut AGC, langkah itu adalah antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya bagi memastikan semua aspek kes ini diteliti.
Mangsa, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu
baca juga : Keadilan Untuk Zara Qairina Tuntutan Bersama – Hajiji



