CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan telah menerima bayaran kompaun sebanyak RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Bin Abd Halim atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau yang menyentuh sentimen kaum dan agama melalui aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.
Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], setelah mendapat kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara.
Dalam kenyataannya hari ini, MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital bagi tujuan menyebarkan kandungan berbentuk perkauman, ekstremisme agama atau menghina institusi negara.
“Pengguna media sosial diingatkan supaya sentiasa mengamalkan etika, berhemah dan bertanggungjawab terhadap setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsikan,” kata kenyataan tersebut.
MCMC turut mengulangi komitmennya untuk memastikan ruang siber negara sentiasa selamat, terkawal dan kondusif, sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.



