Hajiji Nafi Hubungan Antara Parti Dalam GRS Rapuh

- Advertisement -

KOTA KINABALU – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor menolak dakwaan hubungan parti-parti dalam gabungan itu tidak cukup akrab untuk muncul sebagai pasukan yang kuat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Hajiji, yang juga Ketua Menteri itu berkata, sempena dengan pelancaran GRS secara rasmi pada 26 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), GRS akan menubuhkan beberapa jawatankuasa untuk terus memperkukuhkan gabungan itu.

“Dengan pelancaran gabungan ini secara rasmi maka, kita akan melihat era baharu politik negeri Sabah akan bermula.

“Kita akan tonjolkan kepada rakyat mengenai keperluan untuk bersama-sama mentadbir dan memajukan negeri ini pada masa akan datang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu berkata, hubungan parti-parti dalam GRS cukup akrab dan mesra jadi janganlah terlampau dengar cerita-cerita di luar.

Kehadiran pemimpin GRS dalam mesyuarat itu menjadi bukti penting bahawa hubungan parti-parti dalam GRS masih kukuh.

Menurut beliau, menerusi jawatankuasa kerjasama atau solidariti GRS-Barisan Nasional (BN) yang akan ditubuhkan, penyatuan parti-parti dalam GRS akan terus diperkukuhkan.

“Maka, apabila kita berhadapan pilihan raya peringkat Parlimen, kalau boleh tidak ada pertembungan antara GRS dan BN, inilah tujuan utama kerjasama ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, mesyuarat AMT itu turut bersetuju melantik pengerusi bagi Jawatankuasa Pengerusi dan Jawatankuasa Penyelaras GRS di setiap bahagian Parlimen di Sabah.

Tambah beliau, gabungan itu juga sedang meneliti secara mendalam permohonan daripada parti-parti lain yang mahu menyertai GRS seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

“Dalam mesyuarat ini, kami telah bersetuju menerima penyertaan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) ke dalam GRS. Parti ini memohon menyertai GRS sejak Januari taun lalu, iaitu sudah lebih setahun. Itu sebabnya kita putuskan untuk menerima kemasukan Usno,” katanya.

Walau bagaimanapun katanya, permohonan parti lain masih perlu mendapat konsensus semua pihak dan ia memerlukan sedikit masa untuk berinteraksi bagi meningkatkan persefahaman bagi membentuk kerjasama. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat