MOSTI Perlu Beri Tumpuan Dua Jenis Benih Padi, Tingkat Hasil Pesawah – PM

- Advertisement -

MERSING – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi tumpuan kepada penghasilan dua jenis benih yang mampu memberi pulangan serta kualiti hasil padi yang baik.

Beliau berkata kedua-dua jenis melibatkan benih yang berdaya tahan apabila ditenggelami banjir dan tidak menggunakan kuantiti air yang banyak.

“Di beberapa negara seperti di Filipina dan India, mereka mempunyai benih padi yang tahan apabila ditenggelami air dan kita sebagai sebuah negara yang tak tentu bila berlaku banjir ketika ini, kadang-kadang waktu padi sedang meranum, tiba-tiba ditenggelami air dan akhirnya padi musnah.

“Anak-anak padi yang sedang membesar juga mudah ditenggelami air dan musnah, jadi saya minta MOSTI lihat benih ini jika banjir sekalipun, tanaman padi pesawah tidak akan rosak apabila ditenggelami air untuk beberapa ketika,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada komuniti di Felcra Sri Mahkota di Endau hari ini.

Ismail Sabri berkata sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membuat kajian mengenai benih padi yang tidak menggunakan kuantiti air yang banyak itu.

Bagaimanapun, hasil padi yang dikeluarkan susulan penggunaan benih itu agak rendah iaitu sekitar tiga hingga empat tan sahaja.

Justeru, beliau meminta MOSTI dan MARDI meneruskan kajian supaya hasil yang diperoleh tidak terlalu rendah sekali gus dapat membantu pesawah mengurangkan kos dan memberi keuntungan kepada mereka.

“MARDI telah membuat kajian benih padi ditanam bukan di sawah yang perlukan air bertakung iaitu ia hanya perlu disiram seperti pokok bunga dan tidak memerlukan tali air.

“Saya juga telah lancarkan di Pulau Pinang sebelum ini cuma ketika itu, hasilnya agak rendah jadi kita mahu MOSTI dan MARDI buat kajian supaya hasil tidak terlalu rendah,” katanya.

Perdana Menteri juga menyeru agar lebih ramai penyelidik tempatan dalam pelbagai bidang kepakaran tampil mengetengahkan penyelidikan dan pembangunan serta menggembleng tenaga bagi membangunkan inovasi agromakanan negara.

Beliau berkata ini kerana kerajaan sentiasa berusaha memastikan usaha mempertingkat produktiviti industri padi dilakukan secara proaktif termasuk memperkenal teknologi terkini bagi mendepani cabaran dan memperkasa keupayaan.

“Saya juga telah dimaklumkan bahawa MOSTI telah memberikan dana penyelidikan kepada syarikat Pengeluar Padi Sah di Sekinchan dengan kerjasama Agensi Nuklear bagi membangunkan Loji Pengeluaran Benih Asas Padi IS21 mengikut piawaian SOP antarabangsa bagi menghasilkan benih sah yang berkualiti tinggi,” katanya.

Mengulas benih padi IS21 yang dilancarkan pada November tahun lepas di Sekinchan, Selangor, Ismail Sabri berkata pesawah dan petani yang menggunakannya telah memberikan maklum balas positif.

Justeru, beliau percaya jika penggunaan benih itu dilebar luas di Endau, pesawah dan petani akan dapat menikmati manfaat dari segi peningkatan pendapatan serta taraf hidup mereka. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat