Pengasingan Kuasa Wajib Ditegaskan Demi Integriti Negara – Mastura Yazid

KUALA LUMPUR — Penguatkuasaan pengasingan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif wajib ditegaskan dan dijadikan antara tuntutan utama yang dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Prinsip pengasingan kuasa, menurut beliau, bukan sekadar retorik reformasi politik, sebaliknya merupakan teras kepada negara berdaulat serta asas demokrasi berperlembagaan. Kegagalan memelihara sempadan kuasa secara tegas hanya akan mendedahkan institusi negara kepada campur tangan politik, tekanan berkepentingan dan konflik kepentingan.

Pandangan itu disuarakan Datuk Mastura Yazid, bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, yang menegaskan bahawa apabila sempadan kuasa menjadi kabur dan tidak dipelihara dengan jelas, keadilan akan melemah dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara akan terhakis.

Tambahnya, Perhimpunan Agung UMNO sebagai medan tertinggi suara parti Melayu tidak boleh bersikap selesa atau berkompromi dalam soal prinsip. Sebaliknya, PAU mesti berani menuntut agar setiap cabang kuasa negara berfungsi secara bebas, seimbang dan saling menyemak, bukannya tunduk atau dikompromi.

Menurut beliau, tanpa pengasingan kuasa yang sebenar, segala janji reformasi, keadilan dan tadbir urus baik hanya akan kekal sebagai slogan, bukan realiti yang benar-benar dirasai rakyat.

Kegagalan mempertahankan prinsip ini, katanya, bukan sahaja mencederakan institusi negara, malah turut menjejaskan kredibiliti parti dan menghakis maruah negara.

Justeru, tuntutan pengasingan kuasa itu perlu diangkat sebagai pendirian prinsip UMNO di PAU 2025, sebagai jihad menentang ketidakadilan dan pendakwaan berpilih, sekali gus memulihkan integriti institusi negara serta mengembalikan kepercayaan rakyat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat