Oleh Zihan Zari
SEREMBAN – Industri nanas Negeri Sembilan terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila keluasan penanaman nanas meningkat sebanyak 165.86 peratus (%) dalam tempoh lima tahun (2021–2025), menjadikan negeri ini antara yang paling pesat berkembang dalam sektor nanas negara.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Hj. Jalaluddin Alias berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa nanas bukan sekadar tanaman komoditi, malah aset strategik yang berpotensi besar dalam menjamin keterjaminan makanan serta memperkukuh ekonomi luar bandar negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Sembilan 2026 di Grand Klana Ballroom 4, Klana Resort, dekat sini pada Selasa.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Hj. Mohd Asna Amin; Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Hj. Sheikh Úmar Bagharib Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, Puan Sri Dato’ Hjh. Bibi Sharliza Mohd Khalid; ADUN Johol, Dato ’ Hj. Saiful Yazan Sulaiman; dan ADUN Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri berkata nanas adalah antara komoditi yang mempunyai nilai ekonomi tinggi, pasaran eksport yang luas, serta berpotensi besar untuk diperkembangkan melalui pendekatan teknologi moden, inovasi, dan nilai tambah produk hiliran.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri amat menyokong pembangunan industri nanas yang mempunyai nilai ekonomi tinggi, pasaran eksport yang luas serta berupaya diperkasakan melalui pendekatan teknologi moden, inovasi dan penghasilan produk bernilai tambah.
Katanya, sehingga kini Negeri Sembilan merekodkan 220.43 hektar (551 ekar) kawasan penanaman nanas melibatkan 278 pengusaha berdaftar, dengan Daerah Kuala Pilah muncul sebagai daerah utama penanaman diikuti Rembau, Jelebu, Port Dickson, Seremban, Jempol dan Tampin.
Beliau turut memuji penglibatan golongan belia yang semakin meningkat dalam industri nanas, merangkumi 35 % daripada keseluruhan pengusaha, selari dengan pelaksanaan Program Geran Agroprenuer Muda yang menawarkan insentif sehingga RM30,000 bagi setiap peserta, dengan peruntukan keseluruhan RM300,000 pada tahun 2025.
Terdahulu, Sheikh Umar berkata, penganjuran program ini merupakan antara usaha strategik LPNM dalam memperkukuh rantaian nilai industri nanas melalui pemindahan ilmu, kemahiran dan teknologi terkini kepada pengusaha serta bakal usahawan.
“Program dua hari ini melibatkan 100 peserta diberikan pendedahan merangkumi tujuh modul utama pengurusan tanaman nanas, termasuk amalan ladang terbaik, kawalan penyakit, penggunaan dron pertanian serta latihan amali di ladang contoh nanas SG1 di Bandar Seri Sendayan, ”katanya.
Program ini turut disokong dengan pameran industri nanas, inovasi produk berasaskan nanas, teknologi Internet of Things (IoT), serta taklimat pembiayaan oleh Agrobank dan perlindungan keselamatan sosial oleh
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),
bagi melengkapkan peserta dengan pengetahuan menyeluruh dalam mengembangkan perusahaan masing-masing.
Ujarnya, industri nanas negara akan terus diperkasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM291 juta, peningkatan hampir dua kali ganda berbanding RMK-12, sekali gus mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap potensi besar industri nanas sebagai penjana ekonomi baharu negara.
“Melalui pelaksanaan berterusan program pemindahan teknologi, insentif bersasar dan kerjasama strategik antara agensi, industri nanas negeri ini berupaya melonjak sebagai sektor berdaya saing, mampan dan menyumbang secara signifikan kepada agenda keterjaminan makanan serta peningkatan pendapatan rakyat, ”ujarnya lagi.
Dalam pada itu, LPNM komited dalam menyampaikan khidmat kepada usahawan nanas swasta di Negeri Sembilan seperti Projek Sejati MADANI melibatkan lima Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu Kampung Jimah Baru Port Dickson; Kampung Jawa Bukit Pelanduk Port Dickson; Kampung Sega Hilir Rambau; dan Kampung Pasir Putih Labu, Seremban yang mendapat peruntukan terus dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).-SUARA.TV



