‘Alhamdulillah, kebenaran terbukti jua’ – Zahid lega 47 kes tamat

KUALA LUMPUR – Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akui sangat bersyukur apabila 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai tiada tindakan lanjut (No Further Action) NFA .

“Syukur Alhamdulillah.

“Masa akhirnya menjawab segalanya.

” Kebenaran terbukti jua,” ujar Timbalan Perdana Menteri.

Pada Khamis, AGC memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil berhubung kes melepaskan tanpa membebaskan (Discharge Not Amounting to Acquittal – DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Menurut AGC, jabatan itu merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang telah melepaskan tanpa membebaskan DNAA Zahid daripada 47 pertuduhan

Justeru kata AGC, berikutan keputusan DNAA tersebut, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang merangkumi aspek-aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan, termasuk perkara-perkara yang dibangkitkan melalui enam representasi yang dikemukakan kepada AGC selepas Zahid dipanggil untuk membela diri.

“Setelah meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baru yang diperolehi hasil daripada siasatan lanjut dan penelitian tersebut, jabatan ini, berdasarkan penilaian dan pertimbangan pendakwaan, mendapati bahawa keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan tersebut.

“Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan perkara-perkara berikut iaitu skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan; pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan.

“Juga, langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh pihak SPRM bagi melengkapkan dan memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baru kes; dan dapatan hasil siasatan lanjut tersebut yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, jabatan ini memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (“No Further Action”) akan diambil berhubung kes berkenaan,” jelas AGC dalam kenyataan pada Khamis.

Keputusan ini dengan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan, selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat