KUALA LUMPUR – Penghayatan ajaran agama Islam perlu diterapkan secara lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan negara, saran Ketua Pemuda Pas Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Menurut beliau, ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan merujuk kepada kes rasuah yang membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Pemuda Pas mengikuti secara rapat perkembangan kes rasuah yang membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat. Pendedahan demi pendedahan yang berlaku amat membimbangkan kerana ia melibatkan aspek kritikal pertahanan negara, termasuk perolehan aset, kelengkapan serta perkhidmatan yang memberi kesan langsung terhadap tahap kesiapsiagaan angkatan tentera.
“Isu ini bukan sahaja menyentuh kelemahan tadbir urus dalam TDM, malah turut memberi kesan langsung terhadap kualiti aset pertahanan negara. Apabila kontrak dianugerahkan berasaskan sogokan dan bukannya merit serta keperluan sebenar, TDM berisiko memperoleh peralatan yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan. Keadaan ini bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang rakyat, malah turut membahayakan nyawa anggota semasa latihan mahupun operasi sebenar.
“Sehubungan itu, Pemuda Pas menegaskan bahawa penghayatan ajaran agama Islam perlu diterapkan secara lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota keselamatan negara. Ketiadaan penghayatan agama yang sebenar bukan sahaja merosakkan akhlak dan sahsiah anggota, malah berpotensi melemahkan disiplin serta keselamatan negara secara keseluruhan,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada masa yang sama menurut beliau, Pemuda Pas memandang serius penularan aktiviti tidak bermoral yang didakwa berlaku melibatkan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut ditularkan di media sosial.
Ujarnya, perkara ini bukan sahaja mencemarkan imej ATM, malah menunjukkan bahawa budaya warisan asing yang tidak selari dengan nilai dan jati diri tempatan masih lagi diamalkan dalam kalangan anggota tentera.
“Oleh yang demikian, Pemuda Pas juga mendesak agar siasatan terhadap kedua-dua kes rasuah perolehan tender dan isu aktiviti tidak bermoral ini dijalankan secara adil, telus dan tegas tanpa sebarang kompromi. Langkah ini penting bagi membersihkan semula nama baik Angkatan Tentera Malaysia di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa amnya.
“Meskipun beranggapan bahawa penyiasatan terhadap kedua-dua kes ini tidak mudah kerana berprofil tinggi serta telah lama menjalar, namun ketegasan dan keterbukaan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan sangat wajar bagi memastikan kes-kes ini dapat dituntaskan sehingga ke penghujungnya,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu lagi.
Tambah Afnan, Pemuda Pas turut menggesa Kerajaan supaya memastikan penyiasatan kes-kes yang didedahkan dapat dijalankan tanpa sebarang campur tangan pihak luar mahupun dalam.
“Kita tidak seharusnya berkompromi dengan salah laku yang berlaku dan tindakan tegas wajar diambil sekiranya didapati bersalah,” ujarnya.



