KUALA LUMPUR – Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Khairuddin Takiri menggesa kepada mereka yang selalu melagukan dan mendendangkan angka ’47’ untuk menyindir dan menghina bertujuan mencemar nama dan kehormatan seorang muslim pemimpin politik perlu bertaubat kepada Allah.
Hal ini kerana katanya, mereka telah gagal berpegang dengan prinsip Islam bahawa “seseorang itu bebas daripada sebarang pertuduhan selagi tidak dibuktikan sebaliknya”.
“Adapun bakinya, permohonan maaf oleh pihak yang mencela dan penerimaan maaf oleh manusia yang dicemari maruahnya adalah salah satu syarat taubat dalam Islam.
“Moga Allah mengampuni dosa kita semua,” kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno itu.
Khairuddin juga menzahirkan rasa syukur dengan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengisytiharkan tiada tindakan lanjut (NFA) dan kes pendakwaan 47 kes melibatkan salah guna kuasa Yayasan Akalbudi ditamatkan.
“Alhamdulillah. Sangat jelas 47 pertuduhan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selama 6 tahun ini adalah pendakwaan bermotifkan politik tanpa bukti yang kukuh.
“Semalam Peguam Negara berdasarkan prinsip integriti proses pendakwaan dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah” telah memuktamadkan penamatan kes 47 tuduhan melibatkan urus tadbir kewangan Yayasan Akalbudi milik Zahid.
“Ia bukan lagi berstatus DNAA (dilepaskan tanpa dibebaskan) tetapi adalah pertuduhan yang tidak mempunyai cukup bukti untuk pendakwaan,” katanya.



