KUALA LUMPUR, 9 Januari 2026 — Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Salleh dilaporkan melontar hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka bagi kawasan Merlimau.
Menurut sumber dalaman parti, Dr Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka menyatakan hasrat berkenaan menerusi satu mesej yang dihantar dalam kumpulan WhatsApp Pemuda UMNO Malaysia lewat malam tadi.
Seorang Ketua Pemuda UMNO Bahagian yang dihubungi mengesahkan kewujudan mesej tersebut, namun memaklumkan tidak ramai sempat membacanya kerana ia dipercayai telah dipadam oleh pentadbir kumpulan WhatsApp berkenaan tidak lama selepas dimuat naik.
Sumber sama berkata, beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian serta anggota Exco Pemuda UMNO Pusat dijangka menunggu kepulangan Dr Akmal dari Shanghai petang ini bagi mengadakan pertemuan dan memujuk beliau supaya mempertimbangkan semula hasrat berkenaan.
Menurut sumber dalaman Pemuda UMNO, kekecewaan Dr Akmal dikaitkan dengan reaksi keras beberapa pemimpin kanan UMNO yang mengkritik beliau susulan Konvensyen Pemuda UMNO yang berlangsung Sabtu lalu.
Dalam konvensyen berkenaan, Dr Akmal secara terbuka mencadangkan agar UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan kembali menumpukan usaha kepada pembentukan muafakat bersama parti-parti Melayu, satu pendirian yang mencetuskan perdebatan dan kritikan dalam kalangan pimpinan parti.
Setakat ini, Dr Akmal belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung laporan berkenaan. – SuaraTV



