Ahli Parlimen DAP pertikai keputusan Peguam Negara bebaskan Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 8 Januari 2026 — Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempertikaikan keputusan Peguam Negara untuk mengambil keputusan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan yang sebelum ini dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ramkarpal berkata keputusan tersebut gagal memberi keyakinan kepada orang ramai serta menimbulkan persoalan serius berhubung ketelusan dan asas pertimbangan undang-undang yang digunakan oleh pihak pendakwaan.

Menurut beliau, kenyataan Peguam Negara yang menyebut keputusan itu dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap bahan kes adalah terlalu umum dan tidak menjelaskan sama ada dapatan prima facie Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 telah diambil kira.

Ramkarpal menegaskan bahawa kes berkenaan bukan kes yang berakhir tanpa sebarang dapatan mahkamah, sebaliknya Mahkamah Tinggi telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap Zahid selepas perbicaraan berjalan hampir empat tahun sejak 2019 dan melibatkan keterangan ramai saksi pendakwaan.

Beliau berkata dapatan tersebut dibuat berdasarkan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sendiri dan dari sudut undang-undang, tertuduh ketika itu berkewajipan untuk menjawab serta menangkis pertuduhan yang dikenakan.

Namun begitu, prosiding kes berkenaan tidak diteruskan apabila pihak pendakwaan memohon perintah pelepasan tanpa dibebaskan atau DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan pada 4 September 2023.

Sehubungan itu, Ramkarpal mempersoalkan mengapa kini Peguam Negara mengambil pendirian bahawa kes tersebut tidak wajar diteruskan tanpa memberikan penjelasan terperinci mengenai kedudukan dapatan prima facie Mahkamah Tinggi yang dibuat berdasarkan bukti pendakwaan sendiri.

Menurut beliau, kegagalan memberikan penjelasan yang memuaskan berhubung perkara itu berisiko menghakis keyakinan awam terhadap institusi pendakwaan dan mencetuskan persepsi negatif terhadap sistem keadilan negara. -SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat