KUALA LUMPUR, — Pemuda UMNO menyifat keputusan Peguam Negara mengklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiga tahun lalu, merupakan sebagai satu kemenangan besar dari sudut moral dan integriti.
Menurut Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin, prinsip asas yang perlu dipegang ialah keyakinan bahawa mahkamah merupakan sebuah institusi yang bebas dan adil, serta setiap keputusan yang dibuat wajar dihormati tanpa dipengaruhi sentimen politik.
Dalam konteks itu, beliau berkata perubahan klasifikasi kes berkenaan merupakan satu perkembangan yang besar dan signifikan, bukan sahaja dari sudut undang-undang, malah turut memberi kesan penting terhadap persepsi awam ke atas kepimpinan parti.
Katanya, keputusan tersebut bukan sekadar membersihkan nama Zahid, malah menjadi satu proses pembersihan imej terhadap UMNO dan Barisan Nasional yang sebelum ini terpalit dengan persepsi negatif akibat kes berkenaan.
Hafiz turut mengingatkan bahawa isu yang sering dirujuk sebagai “kes 47” telah lama dijadikan senjata politik oleh kedua-dua blok politik utama negara. Naratif tersebut, katanya, dimainkan ketika era Pakatan Harapan 1.0 dan kemudiannya diteruskan oleh Perikatan Nasional termasuk parti-parti komponennya, bagi membentuk persepsi bahawa Presiden UMNO bersalah sebelum proses keadilan diselesaikan sepenuhnya.
Beliau berkata cubaan menjadikan Zahid sebagai mangsa pendakwaan bermotifkan politik akhirnya dapat dipatahkan melalui proses undang-undang yang sah, telus dan berintegriti.
“Apa yang dituduh dan dilabelkan selama ini, sama ada oleh Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional, hari ini terbukti tidak berasas dan tidak benar,” katanya.
Menurut Hafiz, ironinya kebenaran tersebut terserlah ketika negara berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan sendiri, dengan Perdana Menteri daripada gabungan itu, sekali gus membuktikan bahawa naratif politik yang dibina sebelum ini tidak selari dengan fakta serta prinsip keadilan.
Mengakhiri kenyataannya, beliau berkata ahli parti dan kepimpinan UMNO menyambut baik keputusan itu dan berharap ia menjadi titik tolak penting untuk terus memperkukuh usaha membersihkan parti daripada imej rasuah dan politik persepsi, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional. a— SuaraTV



