KUALA LUMPUR – Dr Zaliha Mustafa mengelak soalan diajukan media sama ada Lembaga Pengampunan akan mendedahkan minit mesyuarat yang membincangkan rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Wilayah Persekutuan hanya memberi reaksi “nanti, nanti, nanti,” ketika diajukan soalan itu selepas satu acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Khamis.
Zaliha merupakan antara salah seorang anggota Lembaga Pengampunan, ditanya mengenai cadangan setiausaha politik kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Shamsul Iskandar dilaporkan berkata bahawa pendedahan perbincangan lembaga itu tentang kes Najib boleh menamatkan spekulasi mengenai titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Januari tahun lalu.
Cadangan itu muncul ketika kritikan pedas dilemparkan terhadap kerajaan, yang dituduh menyembunyikan titah agar Najib menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Parti pembangkang turut menggunakan isu ini untuk menggesa Anwar meletakkan jawatan kerana didakwa tidak mematuhi perintah Agong.
Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah addendum itu.