KUALA LUMPUR – Pemilihan sempena Kongres Nasional PKR 2024 yang dijangka awal tahun ini bertujuan menstabilkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau yakin Perdana Menteri sebagai Presiden parti dapat menerajui kerajaan dengan baik.
Beliau berkata apa juga pemilihan (pada kongres) adalah ke arah menstabilkan pentadbiran Perdana Menteri.
“Kita berada dalam kerajaan sekarang dan kita pun mahu proses demokrasi berjalan dengan harmoni dan baik dalam semangat demokrasi sebagai keluarga satu parti.
“Saya ingat pindaan yang kita buat secara baik pulih pada kongres khas yang lepas. Kita yakin dan nak pastikan kepimpinan Perdana Menteri sebagai Presiden parti dan dapat terajui kerajaan dengan baik.
“Apa juga pemilihan adalah ke arah menstabilkan pentadbiran Perdana Menteri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan di Hotel Perdana di Kota Bharu, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Jasri Kasim dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, lapor BH.
Pada masa yang sama beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan terus dibincangkan dalam kongres berkenaan.