Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah melancarkan Skuad Ihsan Madani ‘Skuad Perkasa’ bagi bantuan kemanusiaan, sokongan pemulihan dan meningkatkan kerjasama dengan badan sukarelawan lain.
Pelancaran program khidmat masyarakat ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarahnya, Dato’ Zakaria Shaaban, dekat sini pada Jumaat.
JIM dalam kenyataannya memaklumkan, penubuhan ‘Skuad Perkasa’ seiring dengan komitmen Perdana Menteri semasa Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani untuk mangsa banjir pada 4 Disember lalu
Menurutnya, inisiatif ini diharapkan dapat meringankan bebanan warga JIM yang ditimpa musibah bencana banjir di samping turut membantu masyarakat awam dalam aktiviti-aktiviti pasca banjir.
Menurutnya lagi, ‘Skuad Perkasa’ adalah manifestasi keprihatinan JIM terhadap kebajikan warga kerjanya yang terjejas dengan banjir.
“Ianya disokong dengan kerjasama erat antara Koperasi Imigresen Malaysia (KOPRIMA), Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Persatuan Penguasa Imigresen Malaysia (PPImM), Majlis Kebajikan dan Sukan Imigresen Malaysia (MAKSIM) dan PUSPANITA.
“Skuad ini terdiri daripada 100 sukarelawan JIM dari seluruh negara yang akan digerakkan pada 10 hingga 12 Disember ini untuk memberikan bantuan segera.
“Selain itu, sokongan moral, dan pemulihan kepada 160 warga kerja JIM yang terjejas di tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, ”katanya.
“Kerjasama ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen berterusan JIM terhadap warga kerjanya, serta usaha untuk bersama-sama membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam menghadapi cabaran, ”katanya lagi.-SUARA.TV