Ujian Calitan Hidung Di Dekolah Cuma Demonstrasi, Dipantau Jurarawat – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tampil memperjelas gambar tular guru menjalankan amali ujian calitan hidung (nasal swab) di sekolah.

KPM sebaliknya menegaskan penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 November 2021.

“Kementerian Pendidikan merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk “Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar”. Untuk makluman, pengurusan ujian kendiri COVID-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

“Selaras dengan Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan, KPM pada 28 November 2021 telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid. Berdasarkan surat siaran
tersebut, pelaksanaan ujian kendiri ini hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM. Pelaksanaan ujian kendiri ini
dibuat oleh murid dengan pemantauan guru.

“KPM telah membuat siasatan ke atas gambar yang tular di media sosial dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan COVID-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di negeri Pahang,” kata KPM dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut Kementerian Pendidikan secara keseluruhan, seramai 16 murid telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan COVID-19 menggunakan kit ujian air liur.

Walau bagaimanapun katanya, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat orang guru dan empat orang murid yang dibimbing oleh dua orang Jururawat Masyarakat.

“KPM ingin menegaskan bahawa pelaksanaan saringan ujian COVID-19 di semua sekolah bawah KPM perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja,” jelasnya.