KUALA LUMPUR – Pernyataan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil saat menyampaikan keputusan mahkamah yang menyebut: “Ini bukan bagi kepentingan nasional seperti didakwa, ini adalah memalukan negara” mengundang kekecewaan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu meluahkan rasa kecewa susulan kritikan pedas Hakim Mahkamah Rayuan berkenaan yang secara terang-terangan menyifatkan beliau “memalukan negara”, selepas mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Dalam sidang media selepas keputusan rayuannya diumumkan, Najib berkata, sepanjang berada dalam kerajaan, beliau memberi penekanan untuk mempromosikan kepentingan negara.

“Sepanjang penggal saya, jumlah aset negara meningkat daripada RM800 juta kepada RM2 trilion.

“Oleh itu, saya mencipta banyak kekayaan (untuk negara),” katanya.

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International.

Susulan itu, Najib memberitahu beliau sangat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC.

Oleh itu Najib juga menyatakan sudah memberi arahan kepada pasukan peguam belanya untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan secepat mungkin.

Menegaskan kedudukannya sebagai orang Islam, Najib yang juga ahli Parlimen Pekan juga sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak bersalah seperti yang dipertuduhkan.

“Pertama saya nak nyatakan bahawa saya amat kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan berikutan keputusan itu.

“Saya telah minta peguam untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dengan segera,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Rabu.

Ia dibuat sejurus selepas tiga hakim Mahkamah Rayuan sepakat mengekalkan sabitan bersalah ke atas Najib yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Panel hakim terbabit – dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil – juga sebulat suara mengekalkan hukuman yang ditetapkan ke atas Najib.

Menurut Najib, persoalan pokok isunya itu ialah mengenai dana bernilai RM42 jua milik SRC yang dipindahkan ke peribadinya.

“Sebagai (orang) Islam saya nak nyatakan saya pernah tidak tahu, minta, arahkan sesiapa untuk pindah RM42 juta ke akaun saya,” katanya.

Semasa prosiding secara hibrid pagi ini, wajah Najib kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan Abdul Karim.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Sebelum ini Najib memohon untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas yang mendapati dia bersalah atas satu pertuduhan salah guna jawatan sebagai perdana menteri, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC.

Mengulas kenyataan hakim bahawa apa yang berlaku itu mengaibkan negara, Najib berkata dia juga kecewa dengan apa yang disebutkan.

“Saya sangat kecewa dengan itu,” katanya.

Beliau turut menyebut sepanjang tempoh menjadi perdana menteri banyak kejayaan dilakukan untuk Malaysia termasuk aset negara yang berjumlah RM2 trilion.

“Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti skandal berkaitan forex (tukaran mata wang asing) yang menyebabkan kerugian RM31 bilion.

“Bukankah itu jauh lebih besar?” katanya yang merujuk kepada isu yang melibatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.