KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mencapai lima Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang bermula 27 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata AKM yang digariskan Perdana Menteri adalah satu komitmen prestasi kerja profesional dan berprestasi tinggi, mesti dilaksanakan dengan cepat supaya hasil yang dapat dibuktikan kepada rakyat dalam tempoh masa yang singkat.

“Lima AKM itu adalah daripada 33 petunjuk prestasi utama (KPI) dalaman KKM yang ditetapkan saya ketika mula dilantik Menteri Kesihatan.

“AKM pertama KKM adalah mempertingkatkan liputan vaksinasi bagi golongan remaja berikutan ketika saya dilantik vaksinasi kalangan dewasa sudah pun tinggi disebabkan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“Sehingga semalam, 90 peratus golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos, manakala 86.6 peratus sudah melengkapkan vaksinasi mereka berbanding sasaran AKM kita mencapai 80 peratus,” katanya ketika program Buletin BERNAMA, Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari, pada Rabu.

Khairy berkata, kejayaan itu kerana beliau dibantu dengan hebat Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, yang juga Pengerusi Jawatankuasa PICK Remaja.

“AKM kedua adalah pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) Keluarga Malaysia yang mana dalam pakej itu, setiap keluarga menerima empat unit kit ujian kendiri COVID-19, satu unit oximeter, satu unit termometer, empat pelitup muka guna semula dan risalah panduan penggunaan bagi peralatan kesihatan berkenaan.

“Pakej itu akan dihantar kepada semua 3.6 juta keluarga berpendapatan rendah B40 dalam masa 100 hari dengan setakat ini sebanyak hampir 100,000 pek sudah dihantar dan kita akan hantar yang lain dalam tempoh masa beberapa minggu akan datang,” katanya.

Katanya, AKM 100 hari ketiga adalah pengurangan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU bagi pesakit COVID-19 yang mana KKM kini penggunaan katil ICU berkurangan daripada 95 peratus kepada bawah 70 peratus dan penggunaan katil bukan COVID 80 peratus kepada bawah 50 peratus.

“Dalam situasi semakin pulih dan sasaran AKM itu dicapai pada 24 September lalu, namun disebabkan situasi COVID-19 dinamik, KKM tetap memantau rapi,” katanya sambil memaklumkan buat masa ini penggunaan katil untuk COVID-19 semakin menurun iaitu 26 peratus bagi ICU, manakala katil bukan ICU COVID-19 pula 19 peratus.

Katanya, KKM juga berusaha menyelesaikan lebih banyak lagi perkhidmatan bukan COVID-19 termasuk pembedahan elektif tertangguh (backlog) iaitu 8,725 kes dengan berjaya mencapai pengurangan 10 peratus kes tertangguh pembedahan elektif dan dengan strategi penyumberluaran kepada hospital swasta dan sebagainya, disebabkan berlaku kerana isu COVID-19.

“Selain itu, KKM juga komited menurunkan kes kematian di luar hospital (BID). Pelbagai usaha dijalankan termasuk memperketatkan pengawasan pesakit yang menjalani kuarantin di rumah dan juga untuk memastikan pesakit yang berisiko tinggi dapat dimasukkan ke pusat rawatan dan menerima pemantauan rapi dan meningkatkan kadar vaksinasi

“Didapati melalui langkah-langkah ini kKM berjaya menurunkan menurunkan jumlah pesakit atau kematian BID,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob