BN Ada Rekod Laksana Lebih Daripada Janji Manifesto- Annuar Musa

- Advertisement -

KUALA SELANGOR – Barisan Nasional (BN) mempunyai rekod bahawa ia telah melaksanakan lebih daripada apa yang dijanjikan dalam manifestonya kepada rakyat, kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata justeru, tidak timbul isu kemampuan BN untuk melaksanakan manifesto yang dibentangkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam.

“Ada parti buat manifesto besar tapi terbukti tidak boleh buat. Rekod kita, mana ada dalam manifesto kita kata ada bagi peranti percuma, kawal harga ayam dan bagi subsidi untuk telur (kita laksanakan)… BN ada rekod buat lebih daripada apa yang dijanjikan.

“Sesekali anda bolehlah tipu sesetengah orang tetapi anda tidak boleh tipu semua orang pada setiap masa… dalam menghadapi pilihan raya, rakyat adalah hakim,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peranti komuniti di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia Felda Bukit Cherakah hari ini.

BN menampilkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) dalam manifestonya iaitu tawaran baharu kepada rakyat Malaysia yang mengandungi 99 amal dan usaha gabungan politik itu bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Mengulas calon Perdana Menteri, Annuar berkata isu itu tidak timbul kerana keputusan telah dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dikekalkan.

“Itu adalah keputusan yang telah dibuat dan yang tinggal lagi hanya perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong . Jika kita memenangi kerusi yang diperlukan maka tiada calon kedua daripada UMNO… sesiapa yang cuba dicalonkan mesti menolak. Itu saya kata kekal bersatu kerana keputusan itu dibuat ketika PAU, hanya di PAU sahaja boleh ubah keputusan,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat