‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ perlu melangkaui kepentingan politik – Presiden ISMA

CYBERJAYA — ‘Gagasan Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ perlu diterjemahkan lebih jauh daripada sekadar kerjasama politik atau pembahagian kerusi menjelang pilihan raya, sebaliknya mesti merangkumi agenda pendidikan, ekonomi, pembangunan generasi muda dan pengukuhan masyarakat.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat berkata, penyatuan umat tidak seharusnya hanya menjadi strategi politik bermusim, sebaliknya memerlukan kesepakatan yang berterusan melibatkan parti politik, pertubuhan masyarakat sivil, NGO serta tokoh daripada pelbagai bidang.

Menurut beliau, gagasan yang diperkenalkan ISMA sejak lebih sedekad lalu itu lahir daripada pemerhatian terhadap perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam yang dilihat terus berulang sehingga menjejaskan agenda lebih besar umat.

“Dari segi gagasan idea Melayu Sepakat, Islam Berdaulat yang diperkenalkan ISMA sejak hampir 15 tahun yang lepas, ia sebenarnya bertitik tolak daripada diagnosis yang mendalam hasil pengalaman kami yang telah hampir 30 tahun dalam gerak kerja masyarakat, gerak kerja masyarakat sivil dan sebagainya.

“Kita melihat agenda orang Melayu sentiasa beredar dalam lingkungan yang sama iaitu perpecahan dalaman. Situasi seperti ini tidak membawa kepada apa-apa keuntungan, lebih-lebih lagi kepada agama Islam dan kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu Podcast Suara TV.

Beliau berkata, pelbagai usaha penyatuan politik yang pernah dilakukan termasuk kerjasama UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional merupakan antara contoh usaha ke arah tersebut, namun matlamat penyatuan masih berdepan pelbagai cabaran.

Katanya, perkembangan politik semasa juga menunjukkan bahawa perpecahan dan persaingan antara parti Melayu masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian.

“Inilah yang kita namakan bahawa idea untuk penyatuan umat yang ditawarkan adalah satu perkara yang penting. Cuma definisi dan apakah kandungannya itu perlu diperjelaskan.

“Pada pandangan kami, ia lebih besar daripada isu pembahagian kerusi, isu siapa bertanding di mana dan siapa mendapat kawasan yang mana. Tetapi ia adalah isu agenda, kesepakatan dan bagaimana tujuh orang Melayu, tujuh orang Islam itu sendiri boleh mempunyai satu titik kesepakatan.

“Sekiranya ia tidak bermula daripada perkara itu, maka ia akan berakhir dengan percaturan-percaturan politik yang akhirnya membawa kita kembali kepada titik yang sama,” katanya.

*Penyatuan umat bukan sekadar penyatuan parti*

Mengulas sama ada gagasan Melayu Sepakat hanya bermaksud penyatuan parti-parti politik Melayu, Shuhaib berkata kerangka tersebut perlu dilihat lebih luas.

Menurutnya, parti politik sememangnya memainkan peranan penting sebagai instrumen dalam sistem demokrasi, namun kekuatan umat tidak boleh bergantung kepada parti politik semata-mata.

“Kita melihat dengan kerangka yang lebih luas bahawa penyatuan umat ini, parti politik adalah satu vehicle, satu alat yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen kita.

“Tetapi dalam isu penyatuan umat ini, ia seharusnya merangkumi semua pihak. Di sana ada CSO, Civil Society Organization, ataupun NGO-NGO yang mewakili suara Islam dan suara orang Melayu.

“Ada juga tokoh-tokoh yang bukan affiliate ataupun daripada parti-parti politik. Mereka mungkin pakar dalam bidang masing-masing, mempunyai kemahiran dan pengalaman. Seharusnya semua ini digembleng dalam satu gagasan, satu kerjasama dan satu hala tuju yang penting,” katanya.

Beliau berkata, penyatuan yang hanya muncul ketika pilihan raya tidak memadai kerana agenda pembangunan umat memerlukan perancangan jangka panjang.

Katanya, persoalan utama bukan semata-mata bagaimana parti politik boleh bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya, tetapi apakah agenda bersama yang mampu diteruskan selepas pilihan raya selesai.

*Kesepakatan Melayu berkait dengan kestabilan negara*

Shuhaib turut berpandangan bahawa kekuatan dan kesepakatan masyarakat Melayu-Islam mempunyai kaitan dengan kestabilan negara kerana orang Melayu merupakan antara kelompok teras dalam sejarah pembentukan Malaysia.

Beliau berkata perkara berkaitan kedudukan orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan dan institusi Raja-Raja Melayu telah mempunyai kedudukan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

“Bila kita bicara tentang hal Melayu dan hal umat Islam, ia adalah bangsa tonggak yang dilatari dengan sejarah pembentukan negara ini.

“Jadi bila kita bicara tentang Melayu sepakat, sebenarnya ia bukan hal berkaitan perkauman dan ia bukan bermaksud menafikan hak mana-mana kaum. Mana-mana kaum mempunyai hak yang telah terjamin dalam Perlembagaan.

“Cuma apabila kita bercakap tentang memperkukuhkan jati diri orang Melayu, memperkukuhkan bangsa Melayu itu sendiri dalam penguasaan ekonomi dan pendidikan, kita melihat orang Melayu berada dalam satu kesenjangan dan kemunduran dalam beberapa aspek.

“Perkara ini memberikan satu gambaran bahawa ketidakstabilan politik boleh berlaku sekiranya bangsa tonggak iaitu orang Melayu berada dalam keadaan lemah secara berterusan,” katanya.

*Jangan jadikan agenda Melayu sekadar slogan pilihan raya*

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkasakan orang Melayu dalam bidang ekonomi, pendidikan dan teknologi tidak seharusnya hanya dijadikan slogan politik ketika musim pilihan raya.

Sebaliknya, usaha tersebut perlu diterjemahkan melalui dasar dan gerak kerja yang konsisten sepanjang masa.

“Bagaimana hal-hal yang berkaitan dengan memperkasakan dan memperkukuhkan ekonomi orang Melayu ataupun penguasaan teknologi dalam kalangan orang Melayu itu sendiri bukan menjadi satu alat politik dan bukan menjadi satu slogan retorik tertentu pada musim tertentu, terutama musim pilihan raya.

“Itulah yang menjadi kebosanan ataupun kelesuan dalam kalangan masyarakat, terutama orang Melayu sendiri, apabila pimpinan-pimpinan parti akhirnya hanya melaungkan dan membicarakan hal ini ketika menghampiri pilihan raya untuk mendapatkan sokongan dan undi.

“Jadi itu yang kita namakan tidak serius,” katanya.

Beliau berkata, peranan NGO, kumpulan masyarakat sivil dan parti politik perlu saling melengkapi, khususnya dalam membawa isu masyarakat kepada pembuat dasar.

Menurutnya, NGO mempunyai kekuatan dari sudut gerakan masyarakat, manakala parti politik mempunyai ruang untuk mempengaruhi dasar dan polisi kerajaan.

“Usaha-usaha ini sebenarnya seharusnya saling melengkapi. Ada peranan yang perlu dilakukan oleh pihak NGO tetapi mereka mempunyai keterbatasan, terutama dalam hal berkaitan dasar dan polisi.

“Parti politik pula mempunyai ruang untuk membawa suara masyarakat kepada kerajaan. Jadi sepatutnya berlaku satu hubungan yang saling melengkapi antara gerakan sosial, masyarakat sivil dan parti politik.

“Bukan semata-mata kita bertemu ketika pilihan raya, tetapi sebenarnya sepanjang masa,” katanya.

*Penyatuan perlu menyentuh pendidikan dan generasi muda*

Shuhaib turut menyentuh keperluan memberi perhatian lebih besar kepada pembangunan sahsiah dan pendidikan generasi muda.

Katanya, penyelesaian terhadap masalah sosial tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan politik atau tuntutan supaya seseorang pemimpin mengambil tanggungjawab.

“Kita perlukan satu usaha yang tersusun. Ia tidak mungkin berakhir dengan kita membuat bantahan ataupun seruan untuk seorang menteri meletakkan jawatan kerana itu tidak akan menyelesaikan isu.

“Sedangkan isu utama, isu akarnya, isu pokoknya ialah di manakah kesatuan agenda dalam kalangan orang Melayu tentang pendidikan, tentang persekolahan dan tentang pembangunan jati diri dalam kalangan masyarakat pelajar.

“Ada penekanan tentang ekonomi semata-mata, tetapi aspek kerohanian dan sahsiah diabaikan. Akhirnya seorang pelajar mungkin aktif dalam akademik, cemerlang dalam sukan dan sebagainya, tetapi dari segi pembentukan sahsiah mereka berada dalam satu keadaan yang sangat merisaukan,” katanya.

Beliau berkata, agenda pembangunan generasi muda perlu menjadi sebahagian daripada perancangan penyatuan umat dan tidak boleh diserahkan kepada parti politik semata-mata.

*Kerjasama politik tidak boleh bermusim*

Mengulas perkembangan kerjasama antara parti-parti Melayu ketika ini, Shuhaib menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang boleh menjadi wake-up call kepada parti politik mengenai kehendak masyarakat Melayu.

Namun, beliau mengingatkan supaya kesedaran tersebut tidak berakhir hanya pada percaturan pilihan raya.

“Perkembangan terkini adalah satu perkembangan positif kerana ia mungkin menjadi satu wake-up call, satu kesedaran politik yang berlaku dalam parti-parti tersebut tentang apakah kehendak masyarakat Melayu, khususnya pengundi Melayu.

“Mereka menginginkan satu kuasa politik Melayu yang kuat. Cuma kerisauan kita ialah parti-parti tersebut seharusnya melihat perkara ini lebih jauh.

“Ia bukan sekadar satu gelombang Melayu ataupun tsunami politik, tetapi perlu dilihat sebagai suara dan kerisauan orang Melayu yang berada di akar umbi. Mereka risau tentang sampai bila orang Melayu sendiri perlu risau tentang kedudukan mereka di tanah air sendiri dan tentang perkara-perkara yang sepatutnya diterima,” katanya.

Menurut beliau, isu berkaitan agama Islam, institusi Raja-Raja Melayu, kehidupan berteraskan nilai dan pembangunan generasi perlu dibincangkan secara lebih tersusun serta tidak hanya menjadi bahan politik.

Katanya, pilihan raya mempunyai tempoh tertentu, sedangkan pembangunan masyarakat perlu dilakukan secara berterusan.

“Pilihan raya ada musimnya, lima tahun sekali. Tempoh kempen pula mungkin hanya dua minggu. Jadi di manakah suara penyatuan umat itu selepas pilihan raya?

“Adakah ia berhenti apabila mereka menang, membentuk kerajaan dan masing-masing mendapat laluan politik masing-masing? Kemudian lima tahun selepas itu barulah bertemu semula dengan NGO dan tokoh-tokoh untuk bercakap tentang penyatuan umat?

“Pada pandangan saya, itu tidak sepatutnya menjadi skrip dan cara kita. Penyatuan umat perlu bergerak sepanjang masa, bukan hanya ketika pilihan raya,” katanya.

*’Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ perlu diterjemah dalam gerak kerja*

Mengakhiri perbincangan, Shuhaib menegaskan gagasan Melayu Sepakat, Islam Berdaulat perlu dilihat sebagai satu agenda yang lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti atau tokoh politik.

Katanya, matlamat utama adalah membina kesepakatan yang mampu diterjemahkan dalam pelbagai bidang demi kepentingan masyarakat dan negara.

“Idea ini bukan sekadar tentang penyatuan parti politik. Ia adalah satu gagasan yang perlu diterjemahkan kepada agenda pendidikan, ekonomi, pembangunan generasi muda, pembentukan sahsiah, penguasaan teknologi dan kekuatan masyarakat.

“Kalau kita hanya melihat penyatuan umat dalam konteks pembahagian kerusi dan strategi pilihan raya, kita tidak akan sampai kepada matlamat yang lebih besar.

“Sebab itu kita perlu kembali kepada persoalan asas apakah agenda kita sebagai orang Melayu dan umat Islam, apakah yang kita mahu capai untuk generasi akan datang dan bagaimana semua kekuatan yang ada boleh digembleng dalam satu arah yang lebih tersusun,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat