KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk bertanding solo tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan rasmi berhubung kerjasama atau pembahagian kerusi dengan BN bagi menghadapi PRN berkenaan.
Ditanya kemungkinan PH bertanding tanpa kerjasama BN, beliau berkata parti itu bersedia menghadapi keadaan berkenaan.
Katanya, perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, setakat ini hanya berlangsung secara dalam talian dan belum memasuki peringkat rundingan rasmi.
“Setakat hari ini belum. Kalau ada, kita ada. Kalau tak ada, lawan atau tak lawan.
“Benda ini dibangkitkan dan mereka bersedia berbincang, kita kata okey dan akan bincang. Tetapi tarikh dan masa tidak dinyatakan,” katanya kepada pemberita di NCT Smart Industrial City, lapor BH di Sepang pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mungkin diumumkan menjelang akhir bulan ini.
Ketika berucap pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di DUN Sungai Udang, semalam, beliau berkata pembubaran DUN akan dibuat dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.
Amirudin berkata kenyataan berkenaan masih berupa bayangan, manakala keputusan akhir mengenai pembubaran DUN tertakluk kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT) Melaka.
“Dua Jumaat itu berapa kali? Kalau lepas Jumaat sekali, jadi tiga Jumaat. Kita tengoklah. Ini semua bayangan.
“Tak kisahlah, itu hak dia selaku Ketua Menteri yang harus diluluskan oleh TYT,” katanya.
Amirudin berkata PH kini mempergiat persiapan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan berikutan tempoh semakin suntuk, termasuk berdepan situasi berbeza berbanding PRN sebelum ini.
Secara berseloroh, beliau berkata kemungkinan paling buruk adalah PH tidak bertanding langsung.


