Seawal 70-an Tun Razak sudah ingatkan rasuah mula menghinggapi golongan berkuasa ancaman besar negara – Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang sosok negarawan, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein, seorang tokoh besar yang telah meletakkan asas kukuh dalam pembinaan negara, sekali gus dikenang sebagai Arkitek Pembangunan Negara Bangsa.

Menurut Anwar, Almarhum Tun Abdul Razak adalah negarawan Melayu yang besar, namun perjuangannya tidak pernah terhenti pada batas kaum.

Seperti diungkapkan pemikir dan filsuf Perancis, Roger Garaudy, mengenang tokoh silam bukan sekadar nostalgia untuk menyingkap pengalaman lalu, tetapi untuk menyemarakkan kembali obor perjuangan mereka, not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame, kata Anwar.

“Saya antara anak muda yang beruntung kerana berkesempatan mengenali Almarhum dari dekat. Di sebalik kedudukannya sebagai negarawan besar, Almarhum sentiasa membugar budaya wacana bersama anak-anak muda, termasuk mendengar keresahan, idealisme dan pandangan kami yang ketika itu adakalanya keras dalam menuntut perubahan.

“Keprihatinannya terhadap nasib rakyat diterjemahkan menerusi pelbagai pembaharuan institusi serta gagasan Dasar Ekonomi Baru yang antara matlamat utamanya adalah menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

“Antara pesan Almarhum yang paling saya hadam sebagai anak muda ialah peringatannya mengenai tiga ancaman besar negara, atau 3C, yakni Communism, Communalism and Corruption.

“Komunisme ketika itu merupakan ancaman bersenjata, sementara faham perkauman sempit berupaya meretakkan sebuah negara berbilang kaum. Lebih jauh pandangannya apabila seawal dekad 1970-an, Almarhum telah mengingatkan bahawa rasuah yang mula menghinggapi golongan berkuasa merupakan ancaman besar kepada negara.

“Pesanan itu terus relevan merentas zaman dan tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar mengenang jasa serta sejarah Almarhum Tun Abdul Razak, sebaliknya menghayati keberanian, integriti serta cita-cita besarnya untuk mengangkat martabat rakyat, membina sebuah negara yang adil, bersatu dan bermaruah,” kata Anwar.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat