DAP mahu pertahan semua kerusi menang di Melaka, Sarawak dan serius perjuang peruntukan pembangunan kawasan sama rata

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah membincangkan keputusan Persidangan Kebangsaan berhubung usul yang diluluskan oleh perwakilan untuk memberikan mandat kepada kepimpinan parti supaya DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan Madani sehingga berakhirnya tempoh Parlimen ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memaklumkan, CEC menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan dan bertekad untuk melaksanakan mandat tersebut dengan penuh tanggungjawab.

Tegas beliau, DAP akan terus berusaha untuk memastikan pelbagai agenda reformasi dapat dilaksanakan.

“CEC mengambil pendirian bahawa dua agenda reformasi penting yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, iaitu pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri, seharusnya dibahaskan dan diputuskan di Parlimen pada persidangan yang akan datang pada bulan Oktober.

“CEC turut membuat ketetapan untuk meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow, supaya menggubal suatu Enakmen Dana Pembangunan Kawasan (Constituency Development Fund) bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti politik yang diwakili, supaya pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan.

“CEC berpandangan bahawa prinsip yang sama wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan serta dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara. Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan memaklumkan, mesyuarat CEC turut membincangkan persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Sarawak.

“DAP akan membuat persiapan sewajarnya untuk mempertahankan semua kerusi yang kini disandangkan, di samping mengenal pasti kerusi-kerusi lain yang berpotensi untuk ditandingi,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat