Tulisan tangan Zara tersebar di Facebook, Polis Sabah akan siasat jika ada laporan

KUALA LUMPUR – Polis akan meneliti dan menjalankan siasatan lanjut jika perlu sekiranya menerima laporan berhubung penyebaran gambar lembaran kertas yang didakwa mengandungi tulisan tangan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di laman Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun, berkata prosiding inkues di bawah bidang kuasa Mahkamah Koroner, namun laporan diterima akan diteliti terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada tindakan perlu diambil.

“Kes Koroner ada bidang kuasa mahkamah sendiri, tetapi kalau ada laporan diterima polis akan siasat dan lihat sama ada perlu diambil tindakan atau tidak,” lapor BH di Kota Kinabalu.

Terdahulu, satu akaun Facebook dikesan menyebarkan gambar lembaran kertas didakwa mengandungi tulisan tangan arwah Zara Qairina.

Susulan itu, Koroner Amir Shah Amir Hassan mengingatkan pihak yang mempunyai akses terhadap barang kes di mahkamah supaya memastikan ia tidak dikongsikan kepada pihak luar.

Dalam prosiding hari ini, Pegawai Pemeriksa Dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh memberi keterangan mengenai 21 dokumen yang mengandungi tulisan tangan berkaitan inkues kematian arwah Zara.

Sehubungan itu, Jauteh mengingatkan orang ramai lebih bertanggungjawab di media sosial dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh menjejaskan prosiding inkues.

Mengenai kes ugutan terhadap pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, beliau berkata siasatan masih dijalankan terhadap suspek yang ditahan sebelum ini.

“Polis turut menerima beberapa lagi laporan berkaitan inkues ini dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dalam laporan susulan,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat