Sharul Kamal sertai Rocketfuel Entertainment: hadir dengan single “Emas” & OST “Bayangan”

Cyberjaya– Bagi penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar Sharul Kamal, tahun 2025 menjadi titik permulaan baharu yang sangat bermakna. Selepas melalui fasa panjang sebagai penyanyi bebas, beliau kini melangkah ke depan dengan secara rasmi bernaung di bawah label hiburan gergasi, Rocketfuel Entertainment.

Langkah ini bukan sahaja membuka lembaran segar dalam kariernya, tetapi turut hadir bersama karya terbaru yang cukup istimewa single “Emas” yang baru dilancarkan, serta “Bayangan”, single susulan yang lebih istimewa kerana dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) filem Magik Rompak.

Bagi Sharul, keputusan untuk menyertai Rocketfuel bukan sekadar tentang label, tetapi soal keyakinan dan sokongan.

“Sebagai seorang artis, mempunyai pasukan yang percaya dengan visi muzik saya sangat penting. Saya amat bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga besar Rocketfuel Entertainment. Ia membuatkan saya lebih yakin untuk melangkah lebih jauh, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga ke peringkat serantau,” jelas Sharul.

Rocketfuel Entertainment sendiri terkenal sebagai label yang melahirkan dan mengurus ramai nama besar dalam industri hiburan tempatan. Dengan reputasi itu, penyertaan Sharul dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap bakatnya yang telah lama diperjuangkan.

Single pertama Sharul di bawah Rocketfuel, “Emas”, telah pun dilancarkan pada 18 Ogos lalu bersama video muzik rasmi. Lagu balada mellow dengan sentuhan rock ini menonjolkan sisi emosional Sharul, namun tetap mengekalkan energi yang sudah menjadi identitinya sejak dulu.

Bagi Sharul, “Emas” adalah lebih daripada sekadar karya pertama bersama Rocketfuel.

“Bagi saya, setiap penyanyi ada satu lagu yang menandakan titik mula baharu. Untuk saya, itulah ‘Emas’. Ia bukan sahaja lagu cinta biasa, tetapi simbolik kepada fasa baru perjalanan seni saya. Saya mahu ia sampai terus ke hati pendengar dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Dengan lirik yang jujur dan vokal yang sarat emosi, “Emas” sudah mula mendapat perhatian peminat yang merindui karya segar daripada Sharul.

Sejurus selepas “Emas”, Sharul bakal melancarkan single terbarunya berjudul “Bayangan”. Berbeza dengan karya sebelumnya, lagu ini lebih personal kerana dicipta oleh Sharul sendiri dengan sentuhan sahabat baiknya, Aepul Roza.

Lebih istimewa, “Bayangan” telah dipilih menjadi runut bunyi rasmi (OST) filem aksi berskala besar, Magik Rompak, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 September 2025. Filem ini dibintangi nama-nama besar tanah air termasuk Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar.

“Menulis dan merakam ‘Bayangan’ adalah pengalaman yang sangat peribadi. Bila ia dipilih sebagai OST untuk filem sebesar Magik Rompak, saya rasa teruja dan bangga. Lagu ini membawa jiwa serta naratif yang saya percaya akan memberi dimensi emosi tambahan kepada filem tersebut,” kata Sharul.

Rakan kolaborasinya, Aepul Roza, turut memuji dedikasi Sharul. “Saya kenal Sharul lama, dan saya tahu betapa mendalamnya jiwa muzik dia. ‘Bayangan’ bukan sekadar lagu, ia ada kekuatan cerita yang sesuai dijadikan OST.”

Dua single ini “Emas” dan “Bayangan” menjadi simbol kepada permulaan era baharu Sharul Kamal sebagai artis Rocketfuel Entertainment. Dari seorang penyanyi bebas kepada artis label ternama, beliau kini mengorak langkah lebih besar dengan karya yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga meninggalkan kesan jiwa kepada pendengar.

“Saya janji untuk terus berkarya dengan seikhlas hati demi peminat. Ini baru permulaan, dan saya mahu ia berkembang menjadi perjalanan seni yang panjang,” akhiri Sharul.

  • “Emas” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Joox, KKBox, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.
  • “Bayangan”, OST rasmi Magik Rompak, bakal menemui peminat bermula 5 September 2025 di semua platform digital.

Dengan sokongan Rocketfuel Entertainment, vokal bertenaga, serta kejujuran dalam berkarya, tidak mustahil nama Sharul Kamal bakal menjadi antara bintang penting yang mewarnai industri muzik Malaysia dalam tahun-tahun mendatang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat