KUALA LUMPUR – Inkues bagi menentukan punca kematian Pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan bersambung untuk minggu kedua di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.
Inkues untuk minggu kedua akan berlangsung dari 8 hingga 12 September.
Prosiding selama 19 hari yang dijadualkan berlangsung hingga 30 September akan dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak selaku koroner.
Bagi minggu kedua, tumpuan terarah kepada keterangan daripada ahli kimia bagi mengesahkan beberapa dokumen termasuk diari Allahyarham Zara Qairina.
Terdahulu Peguam Joan Goh memaklumkan, prosiding pada minggu kedua ini juga akan disusuli dengan sesi locus in quo, iaitu lawatan ke lokasi kejadian bagi membantu mahkamah memahami keadaan sebenar insiden.
Menurutnya, perkembangan ini penting kerana ia dijangka dapat memperjelas keadaan sebelum dan selepas kejadian yang meragut nyawa Zara Qairina.
Sebanyak 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas remaja terbabit akan dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding inkues berlangsung, lapor Astro Awani di Kota Kinabalu.
Minggu lalu, Pakar Patologi Forensik, Dr Jessie Hiu memberi keterangan selaku saksi pertama.
Prosiding akan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II Datuk Badius Zaman Ahmad bersama-sama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan serta Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas. Remaja berkenaan sebelum itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada pukul 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya prosiding inkues dilakukan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Pada 8 Ogos, AGC memaklumkan kubur Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
Sementara itu, Sinar Harian Sabah melaporkan, pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh merupakan saksi kedua yang memberi keterangan dalam inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir yang berlangsung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.
Saksi kedua berusia 44 tahun itu merupakan pemeriksa dokumen yang membuat perbandingan tulisan tangan dalam dokumen berkaitan kes Zara Qairina yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk diperiksa.
Prosiding yang memasuki minggu kedua bermula pada jam 9.20 pagi itu dijalankan di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Prosiding turut dihadiri pasukan peguam sebagai pihak berkepentingan dalam kes ini iaitu ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat yang diwakili Shahlan Jufri dan Rizwandean M. Borhan, selain Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.
Turut hadir sebagai pihak berkepentingan ialah peguam yang mewakili bapa arwah Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, iaitu Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Seorang daripada tertuduh kanak-kanak pula diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Joan Goh, manakala empat lagi tertuduh diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Inkues sepanjang bulan ini dikendalikan oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama Timbalan Pendakwa Raya yang bertindak sebagai pegawai pengendali iaitu Dana Arabi Wazani, Mohd Fairuz Johari dan Dena Dacia Jane.



