Tiga beregu badminton negara mara ke separuh akhir Terbuka China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Peluang untuk menyaksikan wakil Malaysia beraksi di perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka China semakin cerah apabila tiga beregu berjaya meloloskan diri ke pusingan separuh akhir.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta dua beregu campuran, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing memastikan cabaran Malaysia pada saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu terus ‘menyala’ selepas menewaskan lawan masing-masing.

Dalam acara beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan ke atas rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menerusi aksi tiga set 19-21, 21-19, 21-11 dalam tempoh lebih sejam.

Tersentak dengan kekalahan di set pertama, pemenang pingat gangsa Kejohanan Badminton Dunia itu melakukan kebangkitan di set kedua sebelum memastikan slot di separuh akhir apabila menang 21-11 di set penentuan.

Menjelang aksi separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu pemenang perlawanan antara juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia yang beraksi sebentar lagi.

Dalam aksi yang berlangsung lebih awal, Kian Meng-Pei Jing melakar kejutan apabila menewaskan pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai menerusi aksi straight set 21-18, 21-19.

Menanti mereka di separuh akhir esok adalah juara dunia, juga dari Korea Selatan, Seo Seung Je-Chae Yu Jung yang menyingkirkan wakil tuan rumah, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dengan kemenangan 17-21, 21-13, 21-17.

Sementara itu, Tang Jie pula enggan terlalu selesa dengan kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir memandangkan mereka masih memiliki misi penting esok menentang jaguh Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.

Beregu No.11 dunia itu melayakkan diri ke separuh akhir Super 1000 pertama dalam karier mereka selepas menyingkirkan pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menerusi kemenangan tiga set 21-15, 13-21, 21-16.

“Bagi Super 1000, ini adalah kali pertama kami layak ke separuh akhir. Tugas belum selesai kerana masih ada aksi separuh akhir, jika menang, kami perlu bermain di perlawanan akhir. Fokus kami sekarang adalah untuk mula dari kosong,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat