“Tanya Peguam Negara, jangan tanya saya” – Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi sepenuh kepercayaan kepada Peguam Negara yang baharu untuk memberi penjelasan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya (DNAA) dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi dihadapinya.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan sebagai orang yang terbabit dalam kes berkenaan, beliau tidak mempunyai hak untuk membuat ulasan mengenai keputusan kes berkenaan.

“Tanya Peguam Negara kerana Peguam Negara telah wakilkan kepada pendakwa raya untuk menyatakan 11 fakta di mahkamah, jadi saya sebagai orang terbabit tidak ada hak untuk memberikan ulasan.

“Bagaimanapun, saya beri kepercayaan kepada Peguam Negara yang baharu dan pihak DPP untuk melakukan penjelasan jika perlu.

“Sebelas fakta yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bagi saya adalah memadai kerana mahkamah telah buat keputusan,” lapor BH di Batu Pahat pada Jumaat.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan pada peringkat membela diri.

Sementara itu, ketika diminta mengulas laporan media mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa wujud tangan ghaib dalam kes terbabit, Ahmad Zahid meminta beliau untuk fokus kepada tugasnya bagi membangunkan negeri berkenaan dan tidak hanya berjanji kosong.

“Tangan ghaib mungkin ada di Kedah tapi tidak ada di Johor.

“Saya harap dia jalankan tugas sebaiknya untuk selesaikan masalah rakyat di Kedah dan fokus kepada tugas beliau untuk bangunkan negeri bukan hanya janji kosong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat