Kes Zahid: Penjelasan PM perbodohkan rakyat – Pejuang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskannya (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi ibarat menegakkan benang yang basah.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid berkata, Anwar cuba melihatkan seolah-olah beliau amat memahami reaksi rakyat dalam perkara ini, tapi pada masa yang sama masih lagi mempertahan Zahid yang jelas seharusnya diselesaikan bicara penuh tanpa memperolehi laluan mudah jalan DNAA.

“Menegakkan benang yang basah. Begitulah kelihatan penjelasan Perdana Menteri sebentar tadi apabila berdepan wartawan dalam isu DNAA Zahid, Timbalan Perdana Menterinya sendiri.

“PM cuba melihatkan seolah-olah beliau amat memahami reaksi rakyat dalam perkara ini, tapi pada masa yang sama masih lagi mempertahan Zahid yang jelas seharusnya diselesaikan bicara penuh tanpa memperolehi laluan mudah jalan DNAA,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rafique berkata, Perdana Menteri juga memaklumkan beliau telah memohon penjelasan panjang lebar daripada bekas Peguam Negara mengenai isu ini.

“Katanya nota saranan dari seorang timbalan pendakwa raya yang bocor bertarikh Oktober 2018 juga telah dikaji oleh bekas Peguam Negara serta surat representasi 200 halaman sebelum buat keputusan.

“Tidakkah ini pelik? Bekas Peguam Negara dilantik pada Mac 2020 dan tamat perkhidmatan pada September 2023. Dalam tempoh tersebut langsung tiada apa-apa penarikan balik kes terhadap Zahid disyorkan kecuali pada 4 September 2023.

“Malah semasa Tan Sri Idrus Harun memegang jawatan Peguam Negara semasa era PM 8 dan PM 9 prosiding kes ini diteruskan dan Zahid dipanggil membela diri,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, sebagai Peguam Negara sudah tentu Idrus mempunyai akses penuh pada keseluruhan kertas siasatan kes Zahid mulai Mac 2020 hingga 2023.

“Mengapa tiada syor pada awal lagi? Mengapa tiada syor sebelum dipanggil bela diri?

“Lupakah kita semua pada Ogos 2023 Idrus apabila ditanya mengenai kes-kes pemimpin tertentu telah menyatakan tiada sebab atau alasan munasabah untuk teliti semula semua kes yang telah didakwa di Mahkamah?

“Apa istimewa sangat Zahid Hamidi sehingga dilayan sebegini rupa? soal beliau.

Tegas Rafique, penjelasan Perdana Menteri membawa lebih banyak persoalan dan menimbulkan banyak lagi spekulasi.

“Yang pasti, ianya bak bangkai gajah ditutup nyiru!

“Stop taking the rakyat as fools,” bidas beliau.

Terdahulu, Anwar menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dan memberi arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, dalam keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Perdana Menteri menegaskan, jika mempunyai kuasa menangguhkan keputusan mahkamah itu, beliau pastinya akan mengarahkan pembebasan terbabit hanya dibuat selepas selesai semua pilihan raya.

“Tapi saya nak jelaskan, tak ada arahan (kepada) Peguam Negara (ketika itu), (Tan Sri) Idrus (Harun). Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis AGC (Pejabat Peguam Negara) yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Beberapa fakta baharu (setebal) 200 halaman dikemukakan. Tentunya saya sebagai Perdana Menteri tahu kesan dari tuduhan yang dilemparkan. Saya terpaksa tanya panjang kepada AG (peguam negara) kenapa keputusannya begitu, kenapa sekarang.

“Tetapi kalau tanya saya, (kalau) saya ada kuasa…saya nak tangguh. Sebab apa? Sebab saya nak lepaskan (dibuat selepas selesai) semua pilihan raya, kemudian AG jalankanlah tetapi AG tak bersetuju. AG kata tarikh mahkamah ialah 4 haribulan dan 5 haribulan adalah hari akhir beliau.

“Jadi beliau jalankan tanggungjawab. Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain. Saya tak boleh halang dan saya baca kenyataan sebahagiannya benar, sebahagiannya lahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat