Kes Harian Covid-19 Dijangka Terus Meningkat – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kes harian COVID-19 di negara ini dijangka terus meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti kesihatan awam dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur itu membolehkan aktiviti kesihatan awam dijalankan lebih bertumpu.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, saringan terhadap 10 peratus daripada penduduk yang tinggal di kawasan PKPD juga turut diberi keutamaan kerana mereka kini berada di kawasan berisiko tinggi.

“Justeru, jumlah kes harian COVID-19 dijangka meningkat berikutan pelaksanaan aktiviti kesihatan awam yang dijalankan. Dalam tempoh tujuh hari bermula 1 Julai lalu, Selangor menyumbang 42.02 peratus daripada 47,811 kes, berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 hingga 30 Jun.

“Bagi Kuala Lumpur pula, wilayah berkenaan menyumbang 13.01 peratus pada tempoh 1 hingga 7 Julai 2021 berbanding 12.29 peratus bagi tempoh 24 hingga 30 Jun lalu.

“Hasil saringan bersasar ini menunjukkan peningkatan kes ketara di negeri PKPD,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya turut menjalankan beberapa tindakan bagi menangani keadaan kritikal berikutan peningkatan kes secara mendadak.

“Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut meluluskan KKM meneruskan aktiviti penyumberluaran ke hospital dan makmal swasta bagi membantu meningkatkan kapasiti kementerian menangani COVID-19.

“Antara tindakan penyumberluaran dilakukan adalah kerajaan meluluskan sejumlah peruntukan untuk penyumberluaran perkhidmatan perubatan bertujuan mengurangkan masa menunggu pesakit khususnya yang perlu menjalani pembedahan atau prosedur kritikal seperti rawatan jantung dan kanser sebagai langkah kesiapsiagaan hospital menghadapi wabak COVID-19.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang dalam hospital KKM menangani kes COVID-19 yang perlu dimasukkan ke hospital dan pada masa sama, memastikan rawatan kepada kes bukan COVID-19 dapat terus diberikan,” katanya.

Pada tahun lalu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak RM11 juta dibelanjakan kerajaan bagi aktiviti penyumberluaran perkhidmatan perubatan.

“Aktiviti penyumberluaran itu membabitkan 31 hospital swasta dengan 3,741 pembedahan dan prosedur berjaya dilaksanakan. Ia kemudian diteruskan dan sebanyak RM39.08 juta diagihkan kepada 14 negeri bagi tujuan sama, sehingga kini 72 hospital swasta terbabit dengan aktiviti berkenaan.

“Bagi peningkatan kes mendadak di kawasan Lembah Klang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah mempertingkatkan aktiviti penyumberluaran kepada hospital swasta berdekatan.

“Sejak 6 Julai lalu, seramai 25 pesakit dihantar ke hospital swasta yang dikenal pasti dan anggaran empat pesakit akan dihantar setiap hari.

“Jumlah pesakit akan dihantar bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta dalam tempoh enam bulan dianggarkan seramai 993 orang membabitkan peruntukan RM18 juta,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat