Covid-19: Warga Tempatan Diberi Keutamaan Solat Berjemaah dan Jumaat Di Masjid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada warga tempatan bagi menghadiri solat berjemaah dan Jumaat di masjid dan surau.

Menurutnya pihaknya perlu meneliti pelbagai perkara sebelum memuktamadkan untuk membenarkan warganegara asing mendirikan solat jemaah di rumah ibadat itu.

“Setiap laporan dan data kami akan teliti. Sebarang kekurangan kami akan baiki dan ini akan ambil masa. Mungkin sebulan atau dua bulan.

“Apabila keadaan sudah stabil, kami akan benarkan mereka melakukan ibadat (di masjid),” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Program Cuci-Cuci Masjid Pasca Covid-19 dan penyampaian bantuan dana Tabung Musaadah Covid-19 di Desa Petaling dekat sini, hari ini.

Ketika ini kerajaan membenarkan warga tempatan untuk solat Jumaat dan berjemaah di masjid dan surau dalam skala lebih besar dengan memaksimumkan setiap ruang namun tetap menepati amalan jarakan sosial.

“Langkah seterusnya…kami mengizinkan mengikut apa yang difatwakan, untuk surau-surau biasa mengadakan solat Jumaat dengan syarat mereka minta kebenaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pejabat mufti supaya ia boleh dipantau sebaik mungkin,” katanya.

Mengenai tabung Musaadah Covid-19 yang terbuka kepada semua golongan, Zulkifli menjelaskan setakat ini hampir RM200 juta dana itu telah disalurkan kepada penerima layak.

“Maknanya, apabila kami mengumumkan (dana sumbangan sebagai umum untuk semua), ia terbuka kepada sesiapa yang layak. Muslim, bukan Muslim, Orang Asli, sekolah-sekolah yang menghadapi kesukaran dan nelayan,” tambahnya.

Menurut Zulkifli, yang penting bantuan itu sampai kepada sasaran dan boleh dimanfaatkan.

Seramai 20 orang termasuk 10 individu bukan Muslim menerima bantuan tabung Musaadah Covid-19 pada Program Cuci-Cuci Masjid Pasca Covid-19 dan Musaadah Covid-19 hari ini.

Acara anjuran Bahagian Khidmat Bakti Al Rahmah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jawi dan Masjid Al Khasyi’in selaku tuan rumah, merupakan perintis kepada pembukaan semula masjid dan surau di seluruh negara selepas menempuh fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan yang menyaksikan orang awam tidak dapat mengimarahkan masjid dan surau demi membendung jangkitan Covid-19.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat