RIYADH, – Pertahanan udara Arab Saudi sekali lagi berjaya memintas dan memusnahkan gelombang baharu serangan dron pada Ahad ketika serangan Iran ke atas negara-negara Teluk terus berlanjutan walaupun Tehran mengeluarkan kenyataan lebih berdamai sehari sebelumnya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Mejar Jeneral Turki Al-Maliki berkata sebanyak 13 dron berjaya dipintas dan dimusnahkan di timur Riyadh, manakala lapan lagi ditembak jatuh sejurus memasuki ruang udara negara itu.
Serangan terbaharu itu menyusul selepas gelombang serangan besar pada Sabtu apabila pertahanan udara kerajaan memintas dan memusnahkan 21 dron yang menuju ke medan minyak Shaybah milik Aramco di kawasan gurun Rub’ al-Khali.
Pada hari yang sama, lima peluru berpandu balistik turut dipintas ketika dilancarkan ke arah beberapa lokasi di Arab Saudi.
Pertahanan Saudi juga berjaya memintas lima peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Pangkalan Udara Prince Sultan di Al-Kharj, kawasan industri penting kira-kira 80 kilometer di tenggara Riyadh. Serangan itu merupakan cubaan ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga hari menyasarkan pangkalan tersebut.
Selain itu, sebuah dron turut dipintas di timur Riyadh.
Serangan ke atas kemudahan minyak Shaybah pada Sabtu merupakan yang pertama sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan kempen serangan udara besar-besaran terhadap Iran, sekali gus mencetuskan gelombang serangan balas Tehran di seluruh rantau Teluk.
Serangan berterusan itu berlaku walaupun Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada Sabtu mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada negara jiran Teluk, sambil menyatakan Tehran akan menghentikan serangan kecuali jika serangan terhadap Iran dilancarkan dari wilayah negara-negara tersebut.
“Saya secara peribadi memohon maaf kepada negara jiran yang terkesan dengan tindakan Iran,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.
Namun jurucakap angkatan bersenjata Iran, Abolfazl Shekarchi menjelaskan bahawa Iran hanya akan mengelak daripada menyasarkan negara jiran sekiranya wilayah mereka tidak digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Kenyataan bersyarat itu menimbulkan keraguan dalam kalangan pegawai serantau sama ada permohonan maaf tersebut benar-benar bertujuan meredakan ketegangan atau sekadar perubahan nada diplomatik ketika operasi ketenteraan masih diteruskan.
Di Emiriah Arab Bersatu, serpihan dron yang dimusnahkan di udara dilaporkan menyebabkan kerosakan kecil pada bahagian luar sebuah bangunan di Dubai Marina, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Keadaan lebih tegang di Bahrain apabila Kementerian Dalam Negeri negara itu memaklumkan bahawa serpihan serangan yang dipintas menyebabkan kebakaran di ibu negara Manama sehingga merosakkan sebuah rumah kediaman dan beberapa struktur berhampiran.
Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa menegaskan komitmen negaranya terhadap keamanan dan kewujudan bersama di rantau tersebut, namun menekankan kepentingan mempertahankan kestabilan serantau daripada ancaman berterusan.
Di Arab Saudi sendiri, keutamaan kerajaan ketika ini adalah melindungi pusat penduduk dan kawasan industri penting.
Menurut Al-Maliki, ancaman peluru berpandu yang menyasarkan Al-Kharj merupakan cubaan ketiga dalam tempoh tiga hari, manakala pada Jumaat sahaja lima peluru berpandu dan beberapa dron telah dipintas di wilayah timur negara itu serta sekitar Riyadh.
Komuniti antarabangsa turut memberi reaksi terhadap perkembangan tersebut. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran melalui media sosial bahawa Iran akan “dibalas dengan sangat keras” berikutan serangan berterusan itu.
Sementara itu Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dalam mesyuarat luar biasa di Riyadh menegaskan hak negara-negara anggota untuk mempertahankan wilayah masing-masing daripada apa yang disifatkan sebagai “pencerobohan Iran yang berbahaya.”



