Dua MPT BERSATU cabar Hamzah jelaskan dakwaan sabotaj dalaman parti

KUALA LUMPUR,  — Dua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tampil mencabar Datuk Seri Hamzah Zainuddin supaya menjelaskan secara terbuka pendirian beliau berhubung dakwaan wujud gerakan sabotaj dalaman yang didakwa melemahkan kepimpinan parti.

Cabaran itu dibuat menerusi satu kenyataan terbuka bersama oleh Datuk Jasri Jamaludin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, dan Mohd Yazid Mohd Yunus, ADUN Lepar, yang juga merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU.

Menurut mereka, tindakan segelintir pemimpin parti yang terus menyerang dan memperlekehkan kepimpinan BERSATU ketika parti sedang menyusun kekuatan menghadapi Kerajaan Madani bukan sahaja memalukan, malah menimbulkan kecurigaan terhadap niat sebenar gerakan tersebut.

Mereka mempersoalkan mengapa ketika ahli dan jentera parti diminta bersatu, masih wujud serangan dari dalam yang dilihat melemahkan Presiden parti sendiri, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada terdapat perancangan tersusun untuk menggugat kestabilan kepimpinan.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa nama Hamzah sering dikaitkan dengan gerakan berkenaan. Justeru, beliau dituntut tampil secara terbuka menafikan sebarang penglibatan sekiranya dakwaan itu tidak benar, serta menghentikan apa-apa usaha yang boleh mencalar imej dan kestabilan parti.

Bagaimanapun, sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap Perlembagaan parti, sama ada secara langsung atau tidak langsung, mereka menegaskan Hamzah seharusnya menunjukkan keberanian moral untuk berdepan tindakan disiplin demi memelihara integriti Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Malah, kenyataan tersebut menyatakan bahawa jika prinsip dan asas perjuangan parti benar-benar telah dicabuli, penyerahan mandat serta kesediaan untuk dikenakan tindakan termasuk pemecatan wajar dipertimbangkan demi kepentingan parti.

Jasri dan Yazid turut menegaskan bahawa tiada individu yang lebih besar daripada parti dan tiada jawatan yang kebal daripada tindakan, sambil mengingatkan bahawa BERSATU tidak boleh bertolak ansur dengan politik bayang-bayang, percaturan tersembunyi atau sebarang gerakan yang melemahkan parti dari dalam.

Menurut mereka, BERSATU kini berada di persimpangan penting sama ada memilih jalan disiplin dan ketegasan, atau berdepan risiko kehancuran dari dalam yang akhirnya menghakis kepercayaan ahli serta penyokong terhadap perjuangan parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat