Kerajaan tegas tidak akan berkompromi isu keselamatan awam – Fahmi

KUALA LUMPUR — Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh menimbulkan kebimbangan awam, menjejaskan ketenteraman masyarakat atau menggugat keselamatan negara, terutama ketika negara menerima kunjungan rasmi pemimpin asing.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata meskipun rakyat mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan, kebebasan itu tidak boleh disalahgunakan sehingga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kita ada hak untuk berhimpun, menyatakan pandangan dan menyuarakan apa yang terbuku di hati. Namun, ia tidak boleh dilakukan sekiranya berpotensi menimbulkan kebimbangan awam, merosakkan ketenteraman awam serta menggugat keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini, ketika diminta mengulas mengenai tangkapan susulan perhimpunan yang berlangsung berhampiran Kompleks Sogo, malam tadi.

Menurut Fahmi, beliau dimaklumkan bahawa Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengadakan sidang media berhubung kejadian itu, selain Menteri Dalam Negeri turut memaklumkan mengenai beberapa tangkapan yang dibuat.

“Bukan hanya individu yang hadir dalam perhimpunan malam tadi, malah terdapat beberapa individu lain yang turut ditahan. Kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan mesej utama yang ingin disampaikan kerajaan ialah pendirian tegas untuk tidak bertolak ansur dalam apa jua perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam.

Sementara itu, Fahmi turut mengulas isu berkaitan rumah ibadat dengan mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang sedia ada dalam menangani sebarang pertikaian atau perselisihan faham.

“Sekiranya berlaku pertindihan, perselisihan faham atau perlanggaran, ikut jalur hukum dan undang-undang. Jangan bersikap vigilante atau mengambil tindakan berdasarkan perasaan sendiri,” katanya.

Beliau menambah, sebarang aduan yang dibuat melalui saluran yang betul boleh diurus dengan baik sekiranya peruntukan undang-undang sedia ada terpakai.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat