“Saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC sebab mereka pandai sangat” – Sanusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil alih pengurusan kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC).

Cabaran itu dibuat apabila agensi tersebut yang sebelum ini menjalankan siasatan ke atas Persatuan Bola sepak Kedah (KFA) berkaitan isu rasuah menyebabkan penaja yang berminat menaja kelab itu menarik diri.

Menurut Presiden KFA itu, ini kerana syarikat berkenaan bimbang sumbangan yang disalurkan kelak kepada KDA FC akan dikaitkan dengan isu berkenaan.

“Orang bukan faham KFA dan KDA FC berbeza, mereka tahu dua-dua (entiti) itu pasukan bola saja. Bila dibuat tangkapan dan dituduh rasuah di mahkamah sedangkan ia tidak berlaku, penaja lari kerana mereka kata ada rasuah.

“Saya cadangkan SPRM ambil alih pasukan bola sepak KDA FC sebab mereka pandai sangat, tentu boleh urus pasukan bola dan bayar gaji tertunggak pemain,” katanya di Alor Setar pada Rabu.

Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas isu tunggakan gaji pemain KDA FC pada ketika ini yang didakwa belum dapat diselesaikan.

Dalam pada itu, Sanusi tegaskan, sejak ditubuhkan pada 1924, pasukan bola sepak Kedah bergantung kepada tajaan untuk membayar gaji pemain, namun jika berterusan gagal mendapatkan tajaan, kemungkinan pasukan tidak dapat bersaing pada Liga Super musim hadapan.

“Suatu ketika dahulu bila tak ada duit, terpaksa tebang kayu balak nak dapat dana untuk biaya pasukan. Bila semua ini dikacau, seolah untuk beri gambaran buruk, pasukan bola sepak pun kena tempias dan terima nasib kurang elok.

“Dulu mereka kata saya suka cari gaduh. Siapa yang buat ketetapan terlalu tinggi hingga ke peringkat ini sehingga pasukan tak boleh bayar gaji, ada negeri lain tak boleh ikut rentak.

“Kalau syarat ketat tidak dilakukan, saya rasa keadaan ini tak berlaku,” tegasnya.

Sanusi berkata, perancangan Kedah untuk membina semula pasukan bola sepak terjejas dengan tindakan SPRM mengheret KFA dengan dakwaan rasuah.

“Kita buat elok dah, saya ambil alih empat tahun lalu, ketika itu selesai masalah hutang, boleh mula bayar gaji. Tiba-tiba mereka datang kacau macam itu, rosak habis semua rancangan hingga sekarang tak boleh bayar gaji,” petik Sinar Harian.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak boleh lagi mencampuri urusan KDA FC kerana ia merupakan kelab swasta yang dimiliki individu serta diuruskan sebagai sebuah syarikat.

“Saya dimaklumkan pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar sedang berusaha menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pengurusan pasukan secepat mungkin.

“Ketika pasukan diurus bawah KFA, saya sudah tegaskan tidak akan guna duit kerajaan negeri untuk bayar gaji pemain sebab ini duit orang ramai. Bila sudah diswastakan jadi tanggung jawab syarikat tersebut untuk urus gaji,” jelasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat