SEPANG – Perkhidmatan keretapi antara terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Aerotrain akan menjalani projek naik taraf perisian yang telah dijadualkan selepas melengkapkan 20,000 jam operasi berterusan.
Proses itu bertujuan untuk memperkukuh ketahanan sistem serta menyokong prestasinya dalam jangka masa panjang.
Menurut Ketua Pegawai Operasi KLIA Adam Nicholas Wilson dalam satu kenyataan, proses berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ketika itu Aerotrain akan dihentikan sementara pada waktu luar puncak iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga pukul 5 pagi, sepanjang kerja dijalankan.
Beliau menyatakan sejak selesainya Pelan Tindakan Menyeluruh pada Jun lepas, sistem Aerotrain telah mengekalkan kadar ketersediaan sebanyak 99.9 peratus.
“Sepanjang satu setengah tahun yang lalu, sistem ini telah melaksanakan 167,481 perjalanan pergi-balik serta mengangkut kira-kira 23.55 juta penumpang,” demikian menurut kenyataan itu.
Fasa pertama, iaitu ujian lapangan yang dijalankan dari 8 hingga 17 Oktober, melibatkan pemasangan dan pengujian kemas kini perisian di bawah keadaan operasi sebenar bagi mengesahkan prestasi dan fungsinya, katanya.
Nicholas berkata ujian lapangan serta penilaian keselamatan bebas akan memberikan lapisan pengesahan tambahan sebelum kemas kini perisian tersebut dipasang secara kekal.
Hasil ujian kemudiannya akan melalui penilaian keselamatan menyeluruh yang dijalankan pihak bebas.
Bergantung pada keputusan penilaian ini, kemas kini akan diteruskan ke Fasa Pelaksanaan dari 28 November hingga 1 Disember, di mana ia akan dipasang secara kekal pada sistem Aerotrain.
Bagi memastikan kelancaran pemindahan penumpang antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit, perkhidmatan bas sepenuhnya akan disediakan sepanjang tempoh kerja ini sebagai sebahagian daripada susunan operasi bersiap sedia lapangan terbang.
“Keutamaan kami adalah memastikan Aerotrain terus memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan lancar kepada para penumpang di KLIA.
“Aktiviti yang dirancang seperti proses naik taraf perisian ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mengekalkan tahap prestasi tersebut serta menyokong kebolehpercayaan sistem dalam jangka masa panjang,” tambahnya.



