KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kurang efektif sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dakwa Tun Faisal, Samsuri dilihat sering ‘ghaib’, lambat memberi respon atau tiada respon langsung terhadap isu-isu dalam PN, apa lagi isu dalam negara.
“Mesyuarat persiapan pilihanraya lewat. Manakala pentadbiran dan pengurusan PN kelihatan tidak teratur serta dicemari tindakan-tindakan pelanggaran Perlembagaan PN, pelanggaran keputusan-keputusan MT PN, membelakangkan PN dan parti anggota, serta menindas dan menafikan hak parti anggota.
“Pada waktu yang sama, Samsuri tiada pengalaman yang signifikan di Pusat dan masih belum teruji menguruskan krisis dalam negara.
“Di bawah kepimpinan Samsuri, keputusan-keputusan MT PN juga boleh disanggah, dilanggar dan di’veto’ oleh Presiden Pas.
“Bayangkan jika Pas menjadi kerajaan dan Pas meneruskan sikap seperti dalam PN. Bukankah akan ada risiko kemungkinan keputusan-keputusan Jemaah Menteri disanggah dari Rusila? kata Tun Faisal.
Pemimpin Bersatu itu berkata demikian mengulas kenyataan penganalisis Syaza Syukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyatakan, Pas mungkin parti dengan jumlah kerusi terbanyak di Parlimen, tetapi keengganannya menamakan calon Perdana Menteri menunjukkan masih ada persoalan mengenai siapa yang mampu mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin negara.
Syaza berkata keraguan itu menunjukkan Pas belum cukup yakin untuk mengetengahkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon utama menerajui Putrajaya.
Justeru Tun Faisal berkata, penganalisis dan academician juga sependapat dengan beliau dalam hal ini. Namun katanya, Pas bukan tidak pernah menamakan calon PM.
Ujarnya, Pas pernah menamakannya beberapa kali. Pada 18 Februari 2025 didakwa, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakan calon Perdana Menteri bagi Pas, bukan pemimpin Pas, tetapi Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Manakala pada 14 Ogos 2025, Ketua Pemuda Pas secara terbuka menamakan lima calon Perdana Menteri, iaitu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; dua Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Idris Ahmad; serta bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah.
“Pada 12 September 2025, Pemuda Pas semasa Muktamarnya menamakan Tuan Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi PN.
“Pada 24 Februari 2026, selepas Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN, Pemuda Pas berubah fikiran dan mencadangkan pula nama Samsuri sebagai calon Perdana Menteri.
“Cuma Pas kemungkinan sedar ia tiada pemimpin yang mampu diketengahkan sebagai calon PM. Pas sendiri dilihat tidak yakin dengan kemampuan Samsuri apabila melucutkan jawatan Ketua Pembangkang daripada Samsuri dan mengembalikan jawatan itu kepada bekas Ahli Bersatu, Hamzah.
“Di Selangor, belum kelihatan pemimpin Pas yang berkebolehan, berkemampuan, berbakat, berpengalaman dan berilmu pengetahuan untuk melaksanakan tugas Ketua Pembangkang seefektif dan secemerlang Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Di negeri-negeri SG4, prestasi dan pengalaman beberapa Menteri Besar Pas masih dipersoalkan rakyat. Bekas MB Pas di Perlis jelas terbukti mempunyai banyak isu dan kelemahan. Kepimpinannya ditolak di peringkat kawasan, negeri dan pusat. Akhirnya dia digantikan. Kemampuan tiga lagi MB untuk memajukan dan membangunkan negeri masih belum cukup diyakini rakyat. Mereka juga belum mempunyai pengalaman di peringkat Kerajaan Pusat,” katanya.
Justeru kata Tun Faisal, apa pilihan yang Pas ada? Samsuri atau mana-mana pemimpin Pas tiada pengalaman dan kemampuan yang meyakinkan.
Bahkan ujarnya, Presiden Pas sendiri tidak yakin untuk menamakan pemimpin Pas sebagai calon PM, sebaliknya menamakan pemimpin parti lain.
“Pilihan Pas jika bekerjasama dengan Umno hanya satu setakat ini – Datuk Seri Zahid Hamidi. Lebih-lebih lagi apabila Umno hanya mahu bekerjasama dengan Pas, bukan parti kucing dalam PN.
“Itupun jika Pas bertanding menggunakan logo BN, berkemungkinan jumlah kerusi Pas juga akan berkurangan daripada 40. Antara sebabnya, pertama, kerana Umno akan bertanding lebih banyak kerusi termasuk kerusi PN di bawah Bersatu di negeri-negeri bukan SG4.
“Di negeri-negeri SG4 pula, jika Pas mahu meneruskan kerjasama dengan Umno, mereka perlu mengorbankan sejumlah kerusi-kerusi Parlimen di negeri-negeri SG4 dan di negeri-negeri yang ketika ini Umno tiada kerusi – Perlis, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Melaka.
“Apa-apapun berhati-hatilah Umno. Umno sendiri sedar Pas mempunyai DNA khianat, tidak menghomati keputusan musyawarah, bincang lain, setuju lain dan buat lain. Presiden Umno sendiri saksi hidup kepada sikap Pas ini dan penipuan Presiden Pas di Mekah.
“Timbalan Presiden Umno juga sedar Pas ini jenis bermuka-muka, tiada keikhlasan dan tidak setia, tidak ada rasa segan dan malu untuk berselingkuh dengan sesiapa sahaja.
“Pengalaman Bersatu lebih banyak lagi – apabila merasa kuat, Pas bukan sahaja campur tangan dalam urusan dalaman Bersatu, malah selepas mengambil alih kepengerusian dan pentadbiran PN, mereka memfitnah, khianat, mungkir janji dan tidak amanah dalam melaksanakan keputusan musyawarah, berselingkuh, berunding di belakang-belakang dengan pihak luar, membelakangkan PN dan parti-parti anggota PN, melanggar Perlembagaan PN dan keputusan-keputusan Majlis Tertinggi PN, tamakkan kerusi, menindas dan menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota,” katanya.



