Penggiat Seni Kreatif Lengkap Vaksin Diberi Kelonggaran Beroperasi – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA – Lebih sejuta penggiat seni kreatif termasuk artis dan pekerja industri tersebut kini boleh bernafas lega susulan keputusan kerajaan memberi kebenaran untuk beroperasi berkuat kuasa Khamis ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri yang mengumumkan perkara itu berkata, kelonggaran kepada lebih 19,000 syarikat sektor industri kreatif itu diberikan secara bersyarat dan terhad kepada mereka yang telah lengkap vaksinasi.

“Kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja.

“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan media hari ini.

Perdana Menteri berkata, selain membolehkan lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ia sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya.

Sehubungan itu, mulai 9 September 2021, semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN, bagi aktiviti-aktiviti seperti berikut;-

  1. Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung;
  2. Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30% di ruang studio;
  3. Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin;
  4. Indoor busking kepada individu yang telah lengkap vaksin;
  5. Persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin;
  6. Aktiviti panggung wayang kepada individu yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti 50% di ruang dewan tayangan pawagam;
  7. Aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis; dan
  8. Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis.

Menurutnya lagi, keputusan memberi kelonggaran tersebut adalah antara usaha berterusan kerajaan yang prihatin untuk merangsang kelangsungan ekonomi penggiat seni dan industri kreatif.

“Industri kreatif menyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.

“Saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.

“Insya-ALLAH kerajaan akan sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat