Persatuan Penggiat Seni Janji Patuh SOP, Berterima Kasih Kepada PM & Menteri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Persatuan seni menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif selepas hampir empat bulan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, dia lega kerajaan memberi kebenaran dijalankan di kawasan Fasa 1 PPN.

Namun, katanya, mereka perlu menantikan keputusan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang ditetapkan sebelum memulakan penggambaran.

“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kerana memberi perhatian kepada nasib penggiat seni. Selama ini, kami merasakan industri kreatif bagaikan tidak penting pada mata kerajaan.

“Namun, jelas menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan nasib warga penggiat seni apabila memberikan kebenaran menyambung semula penggambaran selepas hampir empat bulan tertangguh.

“Bagaimanapun, saya berharap penggiat seni tidak mensia-siakan kebenaran dan jangan abaikan SOP yang ditetapkan. Ini kerana perjuangan mendapatkan kebenaran ini bukanlah mudah.

“Selama ini, kita begitu bangga mengatakan belum pernah wujud kluster industri kreatif, jadi jangan sia-siakan perkara ini. Paling penting, jangan jejaskan perkara yang boleh merosakkan periuk nasi sendiri,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, kerajaan melonggarkan SOP bagi industri kreatif berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, Khamis lalu.

Ia sekali gus dapat memberi kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja yang sudah menerima vaksinasi lengkap. Kelonggaran itu juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif.

“Persetujuan memberi kelonggaran tertakluk kepada syarat SOP diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran diberikan berasaskan faktor terdapat negeri mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan, petang ini.

Sementara itu, pengumuman Perdana Menteri juga disambut baik Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha.

Katanya, kelonggaran SOP dalam Fasa 1 PPN adalah berita baik buat industri kreatif yang sudah lama hilang punca pendapatan.

“Terima kasih Annuar yang membawa isu ini kepada pengetahuan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun, nasihat saya kepada produser supaya beringat ketika membuat persiapan. Ini kerana kita tidak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang semula apabila penggambaran terpaksa dihentikan serta-merta disebabkan kes COVID-19 meningkat.

“Akibatnya penerbit terpaksa menanggung kerugian kerana wang cengkeram yang dikeluarkan lebur. Bagaimanapun, penggiat seni tidak menyalahkan kerajaan yang terpaksa bertindak demikian demi keselamatan,” katanya.

Pansha berkata, dia juga berharap penggiat seni sentiasa berhati-hati ketika menjalani penggambaran.

“Patuh SOP ditetapkan. Ini kerana kita tidak mahu kebenaran diberikan jadi sia-sia apabila berlaku penularan COVID-19 di lokasi penggambaran.

“Produser harus memastikan semua tenaga kerja sudah lengkap dua dos vaksin. Ini penting bagi membuktikan warga penggiat seni mengambil berat soal kesihatan dan keselamatan,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat