WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif kira-kira 100 peratus ke atas cip semikonduktor.
Presiden AS Donald Trump memberitahu pemberita di Pejabat Oval pada Rabu, bahawa kadar tarif baharu itu akan dikenakan ke atas ‘semua cip dan semikonduktor yang memasuki AS’, namun tidak terpakai kepada syarikat yang telah membuat komitmen menjalankan pembuatan di negara berkenaan.
“Jadi, tarif 100 peratus akan dikenakan ke atas semua cip dan semikonduktor yang masuk AS. Tetapi, jika anda telah membuat komitmen untuk membina (di AS), atau sedang dalam proses pembinaan (di AS), seperti dilakukan ramai pihak, maka tiada tarif dikenakan,” kata Trump.
Masih belum jelas jumlah sebenar cip yang akan termasuk skop pengenaan tarif tersebut.
Sebelum ini, Kongres telah mewujudkan program subsidi USD52.7 bilion bagi pengeluaran dan penyelidikan semikonduktor pada 2022.
Tahun lalu, di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, Jabatan Perdagangan berjaya meyakinkan kelima-lima syarikat semikonduktor termaju menempatkan kilang cip mereka di AS menjadi sebahagian program tersebut, lapor Reuters.
Tahun lalu, jabatan itu menyatakan AS hanya menghasilkan sekitar 12 peratus cip semikonduktor di peringkat global, menurun 40 peratus sejak 1990.
Trump menambah: “Jika, atas apa-apa sebab, anda mengatakan sedang membina tetapi tidak membinanya, maka kami akan mengira semula, ia akan terkumpul, dan kami akan mengenakan caj pada tarikh kemudian — anda tetap perlu membayar, dan itu adalah jaminan.”



