LENGGENG — Seramai 1,000 pelajar sekolah dari kalangan keluarga B40 di sekitar Lenggeng menerima bantuan persekolahan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) sebanyak RM100 setiap seorang.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, sokongan dan keprihatinan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik khususnya dikalangan pelajar di sekitar Lenggeng amat dihargai.
“Saya berharap inisiatif baik ini dapat diteruskan di masa akan datang memandangkan pendidikan mampu mengubah sosio ekonomi masyarakat.
“Bantuan ini diberikan kepada pelajar yang memerlukan dan telah dikenalpasti oleh Pertubuhan Amal Dinamik Unggul Negeri Sembilan,” katanya.
Bantuan kewangan diberikan kepada pelajar sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan di sepanjang sesi persekolahan 2024.
Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan YBR RM100,000 turut disempurnakan oleh Loke Siew Fook yang juga merangkap Ahli Parlimen Seremban di Dewan SMK Panchor, Seremban Negeri Sembilan.
Turut hadir dalam sesi penyampaian ini adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR Merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Young Syefura berkata pihaknya berharap bantuan ini dapat membantu para ibu bapa dan pelajar untuk menyediakan peralatan pembelajaran yang berkualiti dan mencukupi sepanjang sesi persekolahan 2024 yang bakal memasuki penggal kedua.
“Usaha ini merupakan tanda keprihatinan YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik dan dapat membakar semangat kepada pelajar-pelajar sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang di masa akan datang,” katanya.
Untuk rekod, sehingga Julai 2024, seramai 8,846 murid dan 145 sekolah telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.31 juta yang melibatkan 27 lokasi.